Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 26 Februari – Madinah Ramadan 1446H bakal menampilkan kelainan berkonsep muzium evolusi yang mengangkat sejarah dua dekad perjalanan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.
Acara tahunan itu dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung sepanjang Ramadan, menjadikannya antara program kemuncak di Kelantan setiap tahun.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan YB Hilmi Abdullah berkata konsep baharu tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda tentang evolusi Kota Bharu sejak tahun 1990 hingga kini dalam kerangka dasar Membangun Bersama Islam.
"Madinah Ramadan sentiasa dinanti-nantikan setiap kali bulan puasa. Tahun ini, kita tampil dengan elemen muzium untuk memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap perjalanan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.
"Inisiatif ini diharap dapat memberi inspirasi dan kefahaman lebih mendalam kepada rakyat, khususnya generasi muda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya lagi, persiapan di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, kini mencapai tahap 90 peratus dengan fasa akhir melibatkan pemasangan lampu dan sistem pembesar suara.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya, Madinah Ramadan akan terus menjadi pusat ibadah dan perkongsian ilmu melalui kuliah agama, solat tarawih, serta majlis berbuka puasa berjemaah.
Antara acara utama yang bakal berlangsung pada 28 Februari ialah Pelancaran Tabung Ihya Madinah Ramadan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Program berkenaan dimeriahkan lagi dengan kuliah khas oleh Murabbi Ummah Ustaz Azhar Idrus.
Seterusnya, pada 4 Mac dianjurkan Hari Kemenangan Palestin dengan penampilan istimewa imam tarawih dari Palestin Sheikh Naeem Mushtaha serta ceramah khas mengenai perjuangan rakyat Palestin.
Manakala Majlis Perasmian Madinah Ramadan bakal berlangsung pada 6 Mac yang menandakan pembukaan rasmi program sepanjang bulan Ramadan.
YB Hilmi juga menjelaskan bahawa penganjuran Madinah Ramadan yang berterusan sejak lebih tiga dekad lalu membuktikan komitmen Kelantan dalam memelihara syiar Islam.
"Penganjuran program berprestij senakin menghidupkan lagi suasana Ramadan sebagai bulan ibadah melalui pendidikan rohani," ujarnya.
0 Comments