![]() |
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 12 Februari – Media berperanan besar sebagai agen islah dan penyatuan ummah dengan memastikan setiap maklumat yang disampaikan berlandaskan fakta serta menjauhi fitnah.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa media bukan sekadar penyampai berita, tetapi juga pemangkin keharmonian masyarakat.
"Tulisan adalah lidah yang bercakap. Jika ia tidak berlandaskan fakta, maklumat negatif akan tersebar," katanya dalam Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Media 1446H/2025 di sebuah hotel, di sini.
Menurutnya, Islam menekankan kepentingan menyampaikan berita yang benar dan mengelakkan penyebaran fitnah, sejajar dengan prinsip al-islah yang bertujuan mengharmonikan keadaan.
"Kita sentiasa memohon semoga Allah menjauhkan kita daripada golongan pendusta.
"Kita mahu mewujudkan al-islah, mengharmonikan keadaan," tambahnya.
Beliau turut memetik tazkirah Menteri Besar dalam mesyuarat Exco yang menekankan konsep hayatan toyyibah (kehidupan yang baik), yang hanya dapat direalisasikan melalui jaringan erat antara semua pihak.
"Di mana ada kasih sayang, di situlah ada kehidupan," tegasnya dengan mengutip pepatah Inggeris.
Beliau turut mengingatkan bahawa kasih sayang adalah asas penyatuan, sebagaimana yang ditegaskan oleh Hassan al-Banna, "Hendaklah kita tawan hati manusia dengan kasih sayang."
Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakan media memainkan peranan dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
"Semasa pilihan raya, itu hak masing-masing. Tetapi selepas itu, kita masih boleh duduk makan dan bersembang bersama. Itulah semangat penyatuan yang perlu kita pupuk," katanya.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media, kerajaan negeri meraikan 20 agensi media yang bernaung di bawah Kelab Media Darul Naim (KEMUDI) dalam majlis kelolaan Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).
Dalam perkembangan lain, YB Mohd Asri menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Kuala Lumpur sebagai platform memperkukuh hubungan kerajaan negeri dan media.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Turut hadir, pemimpin utama negeri yang juga menzahirkan penghargaan atas peranan media dalam menyampaikan maklumat berkesan mengenai pembangunan dan kemakmuran Kelantan.
0 Comments