KOTA BHARU: Kenaikan tarif elektrik dibimbangi memberi kesan terhadap rakyat terutamanya peningkatan harga barangan keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Saizol Ismail berkata, walau pun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan 85 peratus pengguna domestik tidak terjejas dengan kenaikan itu, namun rakyat tetap akan merasai impaknya melalui kenaikan harga barang.
“Kita harap tarif elektrik dikaji semula kerana kenaikan tersebut menyukarkan rakyat yang akan terbeban dengan peningkatan kos lain,” katanya di sini.
Baru-baru ini perdana menteri dilapor berkata, kenaikan tarif elektrik hanya melibatkan sektor industri dan golongan berpendapatan tinggi.
Saizol menambah bil elektrik merupakan salah satu komponen utama selain kos lain seperti bil air.
Menurutnya juga kenaikan harga barangan keperluan harian tahun lepas dikaitkan dengan peningkatan harga diesel.
“Utiliti adalah keperluan rakyat, dan kos tersebut ditanggung mereka. Kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada peniaga, yang terpaksa menjual pada harga tinggi,” katanya pada majlis penyampaian Back To School, di Pusat Khidmat DUN Salor, dekat sini kelmarin.
Saizol berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian token atau insentif kepada rakyat sebagai pampasan untuk menebus kesan kenaikan harga barang jika kenaikan tarif elektrik terpaksa dihadapi.
Pada program tersebut seramai 150 pelajar dari 20 kampung di DUN Salor menerima sumbangan voucer RM100 setiap seorang untuk membeli kelengkapan sekolah.
Setiap kampung menyenaraikan tujuh penerima yang layak. Permohonan juga boleh dibuat secara langsung di pejabat DUN.
Sumbangan terbabit bertujuan membantu keluarga menyediakan kelengkapan sekolah seperti kasut, beg, dan pakaian seragam, terutama bagi mereka yang mempunyai anak ramai.
Sementara itu seorang ibu, Rubiah Mustapha, 43, Kampung Beta Hulu, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya ADUN Salor kerana turut memilihnya menerima sumbangan berkenaan.
Suri rumah itu berkata, beliau begitu teruja apabila buat julungkali menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berupa voucer kelengkapan pakaian sekolah.
"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kami. Saya terpaksa siapkan tiga pasang pakaian seragam sekolah anak-anak," ujarnya
0 Comments