![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 12 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan membuka satu lagi tapak baharu bagi Bazar Ramadan di Kota Bharu.
Langkah tersebut bertujuan membantu peniaga kecil yang kurang berkemampuan untuk menyewa tapak pada kadar lebih tinggi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Exco hari ini bagi memberi peluang kepada peniaga yang kurang berkemampuan untuk turut serta mencari rezeki sepanjang bulan Ramadan.
“Oleh kerana terdapat rayuan dan rungutan daripada rakyat yang mengharapkan pembelaan kerajaan, maka kerajaan negeri memutuskan untuk membuka satu lagi tapak baharu bagi Bazar Ramadan.
"Hal ini bagi memastikan golongan peniaga kecil juga mempunyai ruang untuk berniaga dan menambah pendapatan sepanjang bulan mulia ini,” katanya.
Menurut beliau, tapak baharu yang dikendalikan oleh MPKB-BRI itu akan dibuka dari Jalan Bazar Tok Guru hingga ke simpang tiga Gelanggang Seni, menjadikannya lokasi utama bagi peniaga yang kurang berkemampuan.
“Kerajaan juga telah menetapkan kadar sewa tidak melebihi RM500 bagi setiap petak, selaras dengan keperluan peniaga kecil yang memohon kadar sewa lebih rendah,” tambahnya selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mengulas isu kadar sewa tapak bazar yang tinggi, Dato' Dr Mohamed Fadzli menjelaskan bahawa sebahagian besar tapak bazar diuruskan oleh pihak swasta dan bukan kerajaan negeri.
"Sebagai contoh, tapak Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV sebelum ini dikendalikan oleh FAMA dengan kadar sewa RM500.
"Namun, tahun ini tapak tersebut telah dipajak oleh pihak swasta, Tun Event Management, dengan kadar sewa melebihi RM1,200 bagi setiap petak," katanya.
Beliau menegaskan bahawa kenaikan kadar sewa tersebut bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya ia bergantung kepada pihak swasta yang mengendalikan tapak berkenaan.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan rakyat berniaga sempena bulan Ramadan, sama ada di tapak swasta atau di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Bagi mereka yang mampu dan inginkan kemudahan seperti ruang luas, kebersihan serta bekalan elektrik, mereka boleh memilih tapak yang dikendalikan pihak swasta.
"Namun, bagi mereka yang kurang berkemampuan, tapak yang disediakan oleh PBT dengan kadar tidak melebihi RM500 setiap petak adalah pilihan terbaik," jelasnya.
Tambah beliau, perkembangan mengenai permohonan tapak Bazar Ramadan akan diumumkan dalam masa terdekat.
0 Comments