![]() |
Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 2 Februari- Penganjuran acara kebudayaan dan pelancaran "Indahnya Kelantan 2025" bukan hanya sekadar promosi atau kempen biasa, sebaliknya merupakan platform strategik untuk memperkukuhkan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang unik dan istimewa, kata Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya, tema "Indahnya Kelantan 2025" adalah bertujuan untuk meneruskan momentum kejayaan yang telah dicapai dalam kempen Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK24) dan sekali gus mempelbagaikan daya tarikan pelancongan negeri ini untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa menikmati keindahan alam semula jadi yang ada di negeri Kelantan seperti Pantai Cahaya Bulan, Lata Rek , Gunong Stong dan Taman Negara Kuala Koh.
"Untuk itu, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) bersama-sama pemain industri pelancongan akan bergerak seiring dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mempromosikan "Indahnya Kelantan 2025" dengan merangka pelbagai strategi pelancongan lestari seperti memperkenalkan pakej-pakej pelancongan yang menonjolkan keindahan alam semula jadi, tradisi, budaya dan seni tempatan yang dapat menarik pelancong ke Kelantan".
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Indahnya Kelantan 2025, di Perkarangan Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu pada Sabtu.
Beliau berharap pelancaran Indahnya Kelantan 2025 juga dapat menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam sektor pelancongan khususnya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
"Selain itu, diharapkan program Indahnya Kelantan 2025 ini diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri terutama dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan produk kraftangan serta dapat menerapkan kepentingan untuk memelihara warisan dan budaya tempatan agar terus kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
"Untuk mencapai hasrat ini, kita memerlukan sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan komuniti setempat.
"Sokongan ini akan dapat memastikan negeri Kelantan terus maju dalam sektor pelancongan dan ekonomi," katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan melalui TIC merancang hampir 70 program serta aktiviti menarik sepanjang 2025 ini seperti pameran kebudayaan, festival makanan tradisional dan promosi destinasi ekopelancongan yang akan menjadikan Kelantan sebagai destinasi yang wajib dikunjungi pada 2025.
Katanya lagi, apabila membicarakan tentang pelancongan, ia bukan sahaja menyentuh tentang destinasi, tetapi pengalaman, memori serta hubungan yang dibina di antara pengunjung dan penduduk setempat akan menjadikan Kelantan sebagai negeri yang di terus dicintai dan dikenang oleh setiap pelancong.
![]() |
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor |
Sementara itu Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan keyakinan bahawa inisiatif program "Indahnya Kelantan 2025" akan membawa Kelantan ke tahap yang lebih tinggi sebagai destinasi pilihan untuk dikunjungi.
"Untuk mencapai sasaran ini kita mesti pastikan warisan dan budaya kita yang berteraskan Islam terus dipelihara dan dihargai oleh kita semua dan generasi akan datang," ujarnya.
Dalam majlis tersebut juga turut dipersembahkan lagu tema "Indahnya Kelantan" ciptaan komposer terkenal Eddie Hamid dan penulis lirik Fadhil Turbo.
"Lagu tersebut dinyanyikan sendiri oleh Eddie Hamid, Fadhil Turbo serta Din Manja, Fendi Kenali dan diiringi oleh kumpulan Dikir Barat Sirat Maharaja.
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato' Sri Amar D'Raja, Dato' Dr Mohd Amar Abdullah, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feisal, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), Ketua-ketua Jajahan dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
0 Comments