Ticker

6/recent/ticker-posts

PENIAGA BAZAR RAMADAN DISARAN TAWAR HARGA BERPATUTAN

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 26 Februari – Peniaga bazar Ramadan di Kelantan disaran menawarkan harga juadah yang berpatutan bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang bulan mulia ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, peniaga perlu menjalankan perniagaan secara beretika dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

“Kami menggesa semua peniaga untuk menetapkan harga jualan yang berpatutan. Berusahalah mencari rezeki sambil beramal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan harga juadah di bazar Ramadan kekal berpatutan.

“Sekiranya terdapat aduan berhubung kenaikan harga yang tidak munasabah, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga terlibat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan juga akan menjalankan penguatkuasaan berkala bagi memastikan peniaga serta penyedia makanan bebas daripada sebarang penyakit.

“Semua peniaga, terutamanya tukang masak dan penyedia makanan, digalakkan mendapatkan suntikan kesihatan bagi mencegah penyakit seperti typhoid,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Madinah Ramadan, kerajaan negeri menganjurkan majlis hi-tea di Dewan Teratai, Kota Darulnaim hari ini bagi meraikan penaja korporat Madinah Ramadan bersama Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Mohd Amar Abdullah.

“Pada Jumaat, 28 Februari jam 8.30 pagi, kuliah pagi Jumaat akan disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, diikuti pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud. Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang,” katanya.

Post a Comment

0 Comments