SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Seramai 400 anak yatim dari 12 rumah anak-anak yatim, dhuafat, tahfiz dan pondok di bawah naungan Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan (PKPIK) diraikan pada Majlis Berbuka Puasa Perdana.
Majlis itu dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz. Turut berangkat Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, Ketua Polis Kelantan Dato’ Mohd Yusoff Mamat dan Pengerusi Muszleem Malaysia, Ahmad Fadzli Fauzi.
Pengerusi PKPIK, Datuk Mohd Nazri Mohd Nor berkata, program itu diadakan bertujuan meraikan golongan tersebut dalam suasana penuh kasih sayang, khususnya pada bulan Ramadan.
"Majlis ini bukan sahaja untuk meraikan mereka, tetapi juga menjadi platform memberi pendedahan mengenai peranan PKPIK yang komited menjaga kebajikan anak-anak yatim dan dhuafat di Kelantan," katanya pada majlis perasmian Majlis Berbuka Puasa di sebuah hotel, di sini kelmarin.
Menurutnya juga tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak yatim bukan hanya di bahu PKPIK, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipikul bersama seluruh umat Islam.
"Tahun ini merupakan penganjuran kali kelapan Majlis Berbuka Puasa Perdana dan ia menjadi program tahunan yang dinantikan semua warga PKPIK," katanya.
Mohd Nazri turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama antaranya MY Shopro, Ayang Café, JL Fara Beauty Sdn Bhd dan Muslimah Zainabian, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Muzleem Malaysia, Iman Care, Yayasan Raja Shamri serta Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan.
Pada majlis itu juga sumbangan Aidilfitri turut diberikan kepada anak-anak yatim dan anugerah pelajar cemerlang.
0 Comments