Ticker

6/recent/ticker-posts

EXCO KERAJAAN NEGERI SUMBANG MESIN FOTOSTAT SEMPENA ULANG TAHUN KE-111 SKKK

Oleh: Asri Hamat

KUALA KRAI, 5 Mac – Sempena ulang tahun ke-111 penubuhan Sekolah Kebangsaan Kuala Krai (SKKK) pada tahun 2025, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menyumbangkan sebuah mesin fotostat jenama Konica Minolta bagi memudahkan urusan pembelajaran dan pentadbiran sekolah tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKK berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha sekolah dalam meningkatkan kemudahan pendidikan, selain membantu guru-guru menyediakan bahan pengajaran dengan lebih lancar.

"Sebagai sebuah sekolah yang sudah bertapak lebih satu abad, pastinya banyak infrastruktur dan kelengkapan yang perlu ditambah baik.

"Mesin fotostat ini akan mempermudah urusan cetakan bahan pembelajaran tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan luar," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa PIBG sedang merancang untuk membina sebuah pentas baharu di kawasan perhimpunan sekolah bagi memastikan sesi perhimpunan mingguan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan selesa.

"Walaupun SKKK berdepan cabaran dari segi kemudahan, ia masih mampu menyediakan asrama bagi menempatkan pelajar dari kawasan seberang sungai dan mereka yang kurang berkemampuan.

"Ini bagi memastikan semua pelajar mendapat akses pendidikan yang sama rata," tambahnya.

Dalam pada itu, YB Hilmi merakamkan penghargaan kepada barisan guru SKKK yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam mendidik generasi muda, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor pendidikan di Kelantan.

Post a Comment

0 Comments