KUDAT: Pulau
Banggi merupakan pulau terbesar di Malaysia terletak di timur laut Kudat, dan
berdekatan dengan Teluk Marudu.
Pekan Karakit merupakan pusat pentadbiran Pulau Banggi. Pekan itu mempunyai rumah rehat, klinik, Balai Polis, jabatan-jabatan kerajaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi.
Selain itu, Pangkalan Polis PGA, Masjid Pekan Karakit, Terminal Feri Banggi-Kudat dan kem askar.
Penduduk Pulau Banggi dianggar hampir 30,000 orang terdiri daripada suku kaum Bajau Ubian, Dusun Bonggi, Bajau Sama, Kagayan, Molbog, Suluk dan Rungus.
Puncak tertinggi di pulau tersebut dikenali sebagai Bukit Sinambung setinggi 529 meter. Keluasan pulau itu 447 kilometer persegi. Di sekitarnya terdapat sebanyak 16 pulau kecil.
Penduduk tempatan mendapat bekalan elektrik bermula pada 2009 dijana stesen sistem solar hibrid (pv-diesel), yang dilaksanakan di bawah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Persekutuan.
Sekarang operasinya diserahkan kepada Sabah Electricity. Berdasar sejarah Pulau Banggi diduduki Syarikat Hindia-Timur British sebagai pangkalan perdagangan di Pulau Balembangan pada tahun 1760.
Bagaimanapun pada tahun 1805 Syarikat Hindia-Timur Bristish meninggalkan Pulau Balembangan. Pulau Balembangan kemudian ditukar nama kepada Felecia Island.
Pulau Balembangan terletak kira-kira 20 batu dari utara Kudat.
Baru-baru ini rombongan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan mengunjungi Pulau Banggi bagi membantu penduduk tempatan meningkatkan kefahaman mengenai Islam.
Pada kunjungan itu NGO terbabit menggerakkan usaha membaik pulih Madrasah Amal di Kampung Bayangan, Pulau Banggi untuk dijadikan kelas al-Quran dan Fardu Ain.
Pengerusi Yayasan Amal Kelantan Dato’ LSr Mohd Apandi Mohamad berkata, rumah tersebut diwakaf seorang penduduk untuk dijadikan Madrasah Amal.
Katanya, madrasah terbabit akan dimanfaatkan bagi membantu anak-anak penduduk tempatan mendalami ilmu agama, belajar al-Quran serta mempelajari fardu ain.
“Mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menyokong misi tersebut boleh menghulur dana melalui Yayasan Amal Kelantan,” katanya pada kenyataan di laman sosial.
Sumbangan boleh disalur melalui MBSB Bank: 100 5055 0000 20216 atas nama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan. Pertanyaan lanjut boleh hubungi talian whatsapp /+6011 3179 7067.
Selain itu Yayasan Amal Kelantan turut menggerakkan usaha membina tangki air di Kampung Salangan, yang dianggar melibatkan kos kira-kira RM100,000.
Sementara itu pada 7 Oktober lepas seramai sembilan daie menerima sijil Penamatan Field Embedded Learning System (FELS) Batch 11 yang diadakan di Tadika Amal Kampung Salangan, Pulau Banggi.
Daie terbabit mengikuti pengajian berkaitan dakwah selama enam bulan.
FELS merupakan modul anjuran Pusat Dakwah Serantau (PDS) memberi pendedahan kepada daie untuk memahami kehidupan masyarakat, mengenali keperluan komuniti serta mendepani cabaran dakwah di kawasan pedalaman.
Mohd Apandi berkata, daie memperolehi pengalaman melalui penglibatan secara langsung dalam pelbagai aspek pembangunan komuniti dan menimba pengalaman di lapangan.
“Semoga pengalaman sepanjang FELS menjadi bekalan buat daie Yayasan Amal Malaysia untuk lebih bersedia dan berkhidmat dengan komitmen tinggi,” ujarnya.
Hadir sama pada program berkenaan ahli jawatankuasa Yayasan Amal Kelantan, Jamaluddin Ishak dan Mohd Azmi Nor.






0 Comments