Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 26 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 9,000 penjawat awam negeri, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan bahawa bayaran bantuan khas itu akan dibuat pada Khamis, 27 Mac.
Dalam pengumuman sama, beliau turut mengisytiharkan 30 Mac (Ahad) sebagai cuti peristiwa, bagi memberi ruang kepada rakyat Kelantan membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa.
"Untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat Kelantan dalam membuat persiapan hari raya, kerajaan negeri bersetuju untuk mengumumkan cuti peristiwa pada 30 Mac (Ahad).
"Kita mahu rakyat mendapat ruang yang lebih luas untuk merapatkan hubungan silaturrahim bukan sahaja bersama keluarga, tetapi juga sahabat handai. Hari raya adalah hari kemenangan bagi umat Islam, hari untuk bergembira dan saling bermaafan," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput anak-anak Kelantan di perantauan untuk menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan pada 2 Syawal di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, yang dijadualkan bermula 7.45 malam.
"Saya berharap anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang berhari raya dapat hadir ke majlis ini bagi mengeratkan hubungan dengan pimpinan kerajaan negeri."
Beliau turut menasihatkan rakyat, khususnya yang pulang ke kampung, agar mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan.
"Sebelum memulakan perjalanan pulang, pastikan kenderaan diperiksa bagi menjamin keselamatan. Pandulah dengan berhemah dan baca doa sebelum perjalanan. Kita tidak mahu ada tragedi kemalangan yang meragut nyawa rakyat kita," pesannya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memantau anak-anak supaya tidak bermain mercun yang boleh mengundang bahaya.
"Jangan lakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri. Mercun berisiko menyebabkan kecederaan serius, jadi ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak bermain mercun," ujarnya.
0 Comments