Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 6 Mac – Kepimpinan yang beramanah dan berteraskan keadilan adalah asas kesejahteraan masyarakat, justeru setiap pemimpin perlu menunaikan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti berpandukan wahyu Allah SWT.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan perkara itu dalam Bingkisan Ramadan Juz 5, hari ini.
Beliau menyeru masyarakat untuk menghayati Surah An-Nisaa’ yang menekankan prinsip keadilan dan rahmat, khususnya dalam hal ehwal kekeluargaan, perintah berjihad serta pembahagian harta pusaka.
“Keteguhan amanah di dalam diri menjadi tunjang utama bagi memastikan setiap urusan ditadbir dengan baik dan sempurna,” katanya.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa’, ayat 58, yang menegaskan kepentingan menunaikan amanah kepada yang berhak serta melaksanakan hukum dengan adil:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."
Mengukuhkan hujahnya, Menteri Besar merujuk pandangan Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsir Mafatih al-Ghaib yang memperincikan tiga bentuk amanah yang wajib dijaga oleh setiap individu.
Pertama, amanah kepada Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Kedua, amanah terhadap sesama manusia yakni pemimpin wajib berlaku adil kepada rakyat.
Ketiga, amanah kepada diri sendiri iiatu membuat pilihan yang terbaik demi kepentingan agama, dunia dan akhirat.
Menurutnya lagi, seseorang pemimpin hanya mampu menyempurnakan amanahnya sekiranya memiliki iman yang teguh serta meletakkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat utama.
Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah.”
“Oleh itu, perintah Allah SWT agar menunaikan amanah dan berlaku adil bukanlah sesuatu yang ringan, tetapi ia adalah amanah besar yang wajib dipikul oleh setiap pemimpin yang beriman,” tegasnya.
0 Comments