Ticker

6/recent/ticker-posts

KEPIMPINAN BERSENI, BERHIKMAH ADALAH ANUGERAH – MB KELANTAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 4 Mac – “Hikmah dalam kepimpinan adalah anugerah terbesar daripada Allah SWT. Ia bukan sekadar ilmu, tetapi kebijaksanaan dalam bertindak, menilai dan membuat keputusan dengan tepat serta adil.”

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan kenyataan tersebut menerusi Bingkisan Ramadan Juz 3, hari ini.

Beliau menekankan bahawa pemimpin yang memiliki hikmah akan melahirkan kepimpinan yang berwawasan serta membawa kesejahteraan kepada rakyat dan organisasi yang dipimpinnya.

"Kepimpinan berhikmah bukan hanya tentang kuasa, tetapi bagaimana seorang pemimpin mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan penuh kebijaksanaan," katanya.

Beliau merujuk tafsiran Syeikh Mutawalli Sya’rawi yang mendefinisikan hikmah sebagai tindakan yang meletakkan sesuatu pada tempat yang paling bermanfaat.

Menyokong hujahnya, beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 269 yang bermaksud:

"Allah memberikan hikmah kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak."

Menurutnya, kepimpinan berhikmah harus menjadikan Wawasan Allah SWT sebagai matlamat tertinggi, memastikan syariat dan undang-undang-Nya diterjemahkan dalam pentadbiran di semua peringkat.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan hari ini dengan pesanan almarhum Tuan Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang falsafah "Ilmu secupak, hikmah kena segantang."

Tambahnya,  kepimpinan yang adil lahir daripada pemimpin yang menjadikan hikmah sebagai teras dalam setiap keputusan.

"Kisah-kisah perjuangan para nabi dan rasul yang berhadapan dengan umatnya bukan sahaja memberi inspirasi dan ibrah tetapi mampu memberi keteguhan hati untuk meneruskan perjuangan," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments