SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Sektor tekstil merupakan agenda nasional yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam dasar pembangunan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, program latihan, bimbingan, dan kolaborasi akan membuka ruang lebih luas kepada wanita bagi memperkasa kemahiran serta membawa produk kraf tempatan ke peringkat lebih tinggi.
"Usaha itu dilakukan dengan kerjasama Malaysian Craft Council dan Yayasan Hasanah yang melibatkan peserta dari institusi pemulihan bagi membangunkan kemahiran dalam industri tekstil," katanya pada majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA) dan Malaysian Craft Council (MCC) baru-baru ini.
MoU itu sebagai usaha melestarikan warisan seni kraf bagi membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, terutamanya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.
Ia juga turut memberi sokongan kepada inisiatif The Textile Project (TTP) sebuah program komuniti yang bertujuan melahirkan perantis mahir dalam seni kraf sulaman kelingkan, tenunan songket, dan pembuatan batik.
Sementara itu, Presiden MCC, Nik Faiz Amin berkata, sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan, MCC memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri kraf negara serta memperkenalkan kraf Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi pelbagai projek kolaborasi.
Katanya, projek itu dikendalikan oleh MCC dan mendapat sokongan penuh Yayasan Hasanah.
“Kejayaan ini sangat membanggakan pihak kami dan merupakan kejayaan bagi warga kraf kerana setelah sekian lama, industri kelingkan dan songket Kelantan kekurangan tenaga mahir,” katanya.
Menurutnya juga TTP adalah projek susulan selepas kejayaan The Silver Lining 2023 yang melahirkan 10 graduan kelingkan dan songket serta 10 graduan seni persembahan.
Tambah beliau TTP kali ini membawa tiga portfolio kategori kraf iaitu kelingkan, songket, dan batik Kelantan.
"Ketiga-tiga bidang ini merupakan seni kraf unggul sejak sekian lama di bawah naungan Istana Kelantan," ujarnya.
Menurut Nik Faiz, pihaknya menggalas tanggungjawab untuk mengenengahkan serta memposisi pembuat kraf tempatan, terutamanya mereka yang meneruskan legasi kraf warisan agar mendapat pengiktirafan rakyat Malaysia dan antarabangsa.
Katanya juga MCC merupakan ahli World Craft Council dan pada tahun 2024, MCC mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah NGO bertauliah di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
0 Comments