Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KUALA KRAI, 4 Mac- Seramai 359 penerima bantuan sebanyak RM71,800.00 dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) dari 13 parlimen yang terjejas akibat banjir di Kelantan menerima bantuan daripada syarikat-syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat bagi tahun 2025.
Majlis penyampaian bantuan tersebut diuruskan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA) dengan kerjasama daripada NGO-NGO OKU.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim berkata, bantuan berkenaan adalah lanjutan daripada siri bantuan sebelum ini sejak Kelantan dilanda banjir di penghujung tahun 2024.
"Agihan bantuan ini adalah lanjutan dari bantuan yang diberikan sejak Kelantan dilanda banjir penghujung tahun 2024 dan masih berlanjutan sehingga kini semasa Fasa Monsun Timur Laut dan ia disasarkan kepada golongan OKU yang miskin dan terjejas teruk akibat banjir termasuk 50 OKU dari Kuala Krai.”
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Agihan Bantuan Banjir OKU, Parlimen Kuala Krai, di Dewan Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Pusat Tarbiah Islamiah, Kuala Krai pada Sabtu.
YB Rohani juga mengalu-alukan kerjasama dari syarikat korporat, NGO, atau individu untuk menyumbang barangan, wang tunai, atau menganjurkan program-program sebegini bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Kerajaan negeri juga sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat di negeri ini yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan segera, terutama golongan OKU bagi mengurangkan beban tanggungan," ujarnya.
Untuk rekod, bantuan yang disampaikan berupa barangan keperluan harian dan bakul makanan seperti bantal, tuala, tikar, toto, telekung solat, kain pelikat, selimut, minyak masak, gula, dan beras bernilai RM200 setiap seorang.
Hadir sama, Ahli Dewan Rakyat (ADR) YB Abdul Latif Abdul Rahman dan semua Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) di Parlimen Kuala Krai serta Pengarah U-KeKWa Ilvira Mohd Dasuki.
0 Comments