Ticker

6/recent/ticker-posts

Pemegang kad OKU nikmati lebih 20 kemudahan

 


SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Pendaftaran warga OKU termasuk golongan autisme dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membolehkan pemegang kad OKU menikmati lebih 20 kemudahan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,  Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, apa yang penting, semua anak-anak autisme perlu didaftarkan agar mereka tidak terlepas menerima bantuan disediakan kerajaan.


Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan golongan OKU diberi perhatian sewajarnya.


"Ibu bapa dan penjaga digesa segera mendaftarkan anak-anak kelainan upaya khususnya autisme bagi mendapatkan Kad Orang Kurang Upaya yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


"Pendaftaran itu turut meringankan tanggungjawab ibu bapa serta memudahkan urusan penjagaan," katanya ketika berucap pada majlis Menyantuni Anak-Anak Syurga Kasih Ramadan Bersama Ibu Bapa dan Anak-Anak Autisme di Madinah Ramadan baru-baru ini. 


Seramai 50 anak-anak autisme diraikan pada majlis tersebut. Selain  itu turut diadakan ceramah motivasi auitisme disampaikan Timbalan Ketua Pengelola (I) Halaqat Negeri Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.


Menurut Rohani juga ibu bapa yang berada dalam situasi penafian  terhadap keadaan anak mereka, sekali gus menyebabkan proses pendaftaran tergendala.


Kata beliau banyak aspek perlu  diselaraskan dan mendapat maklum balas dan cadangan daripada semua pihak.


Rohani juga berkata, Kelantan merupakan antara negeri yang terkehadapan melaksanakan pelbagai projek rintis berkaitan OKU yang belum dilaksanakan di negeri-negeruli lain.



Antara inisiatif tersebut penubuhan Majlis Penasihat OKU Negeri Kelantan (MPON) sejak tahun 2016 sebagai platform libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan OKU.


Selain itu, Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) bagi menghimpunkan pelbagai NGO OKU sebagai kuasa ketiga dan pemudahcara kepada kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan OKU.


Kelantan juga memperkenalkan konsep Duta OKU Kelantan, yang mana individu OKU dilantik sebagai ikon untuk mengangkat isu OKU ke peringkat nasional.


"Di samping itu, kerajaan negeri turut melantik 14 Penyelaras Pembangunan OKU (PPO) di setiap Parlimen seluruh Kelantan bagi menguruskan data, kebajikan dan isu-isu yang berkaitan.


"Bagi membantu komunikasi, dua orang Jurubahasa Isyarat (JBI)  dilantik khas bagi menyokong semua program rasmi kerajaan negeri yang melibatkan keperluan bahasa isyarat," katanya.


Beliau juga berkata, setiap tahun kerajaan negeri menyalurkan bantuan kebajikan secara berkala kepada golongan OKU berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Post a Comment

0 Comments