Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Semua
bas milik Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) telah menjalani proses
verifikasi Speed Limitation Device (SLD) selaras dengan peraturan ditetapkan Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, proses verifikasi SLD semua bas milik syarikat itu dilaksanakan secara berperingkat pada Oktober hingga November lepas.
Katanya, semua bas yang beroperasi telah diperiksa dengan teliti dan mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan JPJ.
“Keselamatan penumpang keutamaan kami. Kami tidak mahu tunggu arahan atau statistik industri. Ini bukan sahaja mematuhi peraturan, tetapi juga memastikan penumpang selamat,” katanya pada kenyataan di laman sosial semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Dato' Aedy Fadly Ramli sebelum ini memberitahu hanya sekitar 15 peratus daripada lebih 513,000 kenderaan perdagangan melengkapkan proses pengesahan SLD.
Che Ibrahim berkata, pihaknya menyokong usaha pihak berkuasa dalam memperkukuh standard keselamatan industri pengangkutan awam demi kepentingan pengguna.
“Setiap perjalanan E-Mutiara dijalankan mengikut prosedur keselamatan yang ketat bagi memastikan penumpang tiba ke destinasi dengan selamat dan selesa,” ujarnya.


0 Comments