Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Semua
pelajar Kelantan yang berada di Mesir dan Jordan berada dalam keadaan selamat
susulan konflik di Timur Tengah sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan kedutaan bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin.
Katanya, kerajaan negeri berhubung dengan pejabat Kedutaan Jordan dan dimaklumkan pelajar-pelajar dari Kelantan berada dalam keadaan selamat serta berada di bawah pengawasan pejabat kedutaan.
“Semua pelajar Kelantan termasuk pelajar lepasan Yayasan Islam Kelantan (YIK) berada dalam keadaan selamat,” katanya di sini.
Beliau juga berkata, jumlah pelajar Kelantan di Mesir dan Jordan sehingga Disember lepas seramai 903 orang iaitu Mesir (653 orang) dan Jordan (250 orang).
Menurutnya juga ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat terkini boleh berhubung dengan Yayasan Islam Kelantan.
Wan Roslan turut menasihatkan pelajar yang berada di Timur Tengah sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.


0 Comments