Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 19 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pembangunan belia dengan memperkenalkan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) kepada 1,600 pelajar tingkatan enam Yayasan Islam Kelantan (YIK) melalui program serentak di 16 buah sekolah terpilih di seluruh Kelantan.
Program anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) itu mendapat kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) itu memfokus pengenalan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK).
Menurut Pengarah U-BeS Mohamad Kamal Mohamad, program yang berlangsung dari 12 Mac hingga 19 Mac tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar prauniversiti mengenai lima tonggak utama DAMAK dalam aspek pembangunan modal insan, ekonomi, sukan, kepimpinan, dan teknologi.
"DAMAK dirangka sebagai satu strategi menyeluruh untuk memperkasakan golongan muda Kelantan melalui pendidikan, ekonomi, gaya hidup sihat, kepimpinan, dan inovasi digital.
"Kita berharap pendedahan ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut menekankan Lima Tonggak Utama DAMAK iaitu pertama, Pembangunan Modal Insan yang memfokus pendidikan, latihan kemahiran dan nilai kepimpinan melalui program Gentera, Anak Muda Tamu Ramadan, Hari Anak Muda Kelantan, TVET Kejurulatihan Negara.
Kedua, Keusahawanan dan Ekonomi yang membantu belia meneroka peluang dalam perniagaan dan sektor ekonomi digital melalui Program Penempatan Industri.
Ketiga, Sukan, Rekreasi dan Gaya Hidup Sihat yang menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan Rekreasi seperti Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar, Liga Elit DUN, Kejohanan Sepak Takraw Piala TMB, Kejohanan Memanah Sanggora, Kejohanan Badminton Piala Exco Belia.
Seterusnya, Kepimpinan dan Kesukarelawanan yang mempromosi budaya kepimpinan dan aktiviti sukarelawan contohnya, K-Lead dan Pusat Belia.
Terakhir, Teknologi dan Digitalisasi yang mempersiap belia dengan kemahiran teknologi Revolusi Industri 4.0 berfokus kepada pendigitalan dalam sektor pendidikan dan perniagaan.
Mohamad Kamal turut memaklumkan bahawa tiga lagi sekolah di Jeli dan Gua Musang akan menyusul selepas Aidilfitri, memastikan semua pelajar tingkatan enam di bawah YIK mendapat manfaat daripada dasar berkenaan.
Menurutnya, program itu mendapat sambutan yang amat positif daripada para pelajar, yang melihatnya sebagai satu langkah proaktif kerajaan negeri dalam menyediakan ruang dan peluang bagi mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
"U-BeS dan rakan penganjur berharap program ini dapat menjadi landasan penting dalam usaha memperkasakan belia Kelantan agar mereka terus maju sebagai pemimpin, usahawan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi demi masa depan negeri dan negara," ujarnya.
0 Comments