Ticker

6/recent/ticker-posts

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI AI BANTU BANTERAS GEJALA RASUAH – EXCO PENERANGAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 20 Mac – Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka dimensi baharu dalam usaha membanteras jenayah rasuah yang semakin kompleks, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud.

Menurutnya, meskipun jenayah rasuah alaf baharu, termasuk jenayah siber, penipuan mata wang kripto, dan penyalahgunaan kewangan semakin sukar dikesan, teknologi AI menawarkan penyelesaian lebih efektif dalam menangani ancaman ini.

"Teknologi AI berperanan penting dalam menganalisis data berskala besar serta memanfaatkan teknologi blockchain untuk mengesan corak penipuan dan ketidakaturan kewangan. Dalam konteks pentadbiran, sistem e-pentadbiran berasaskan AI mampu memperkukuh usaha membendung rasuah melalui pemantauan serta pengesanan transaksi mencurigakan," katanya menerusi ruangan "Tawasau" (Saling Berpesan) di media sosialnya pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa selain teknologi, aspek keinsanan dan keimanan yang kukuh merupakan benteng utama dalam mencegah penyelewengan, termasuk rasuah.

"Walaupun teknologi juga memainkan peranan dalam usaha mencegah pelbagai penyelewengan seperti rasuah, aspek keinsanan dan keimanan yang kuat merupakan pendinding yang sebenar untuk mencegah pelbagai jenayah termasuk rasuah. Aspek keinsanan dan keimanan boleh meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam sektor awam dan swasta.

"Selain itu, pendidikan yang berterusan tentang bahaya jenayah rasuah serta penyelewengan perlu konsisten dan dipupuk sejak dari awal kanak-kanak lagi," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments