Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 19 Mac – Lawatan sambil belajar mahasiswa Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke sebuah kilang pemprosesan makanan ternakan di Selising membuka peluang kepada mereka untuk memahami secara langsung proses penghasilan makanan ternakan berkualiti.
Menurut Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, lawatan tersebut berlangsung pada Ahad memberi pendedahan komprehensif kepada mahasiswa, bermula daripada pemilihan bahan mentah sehingga formulasi makanan ternakan yang memenuhi piawaian kualiti.
"Program ini adalah platform terbaik untuk mahasiswa mendalami aspek teknikal industri pemprosesan makanan ternakan.
![]() |
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Kelantan, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail |
"Ia selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasa sektor penternakan, khususnya dalam meningkatkan keberdayaan penternak kecil melalui penggunaan teknologi pemakanan yang lebih efisien," katanya menerusi hantaran di sosial media pada Isnin.
Dalam lawatan itu, Dato' Tuan Mohd Saripudin turut berkongsi perkembangan sektor ternakan ruminan di Kelantan, termasuk inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh industri ini melalui skim bantuan, pembangunan tanah terbiar serta sokongan kepada usahawan tani.
“Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap haiwan ternakan, tumpuan turut diberikan kepada peningkatan pengeluaran baka berkualiti, pengurusan ladang moden, serta pemantapan sistem pemasaran agar penternak mendapat pulangan yang lebih kukuh dan stabil,” jelasnya.
Tambahnya, lawatan tersebut turut membuka mata mahasiswa terhadap cabaran industri penternakan seperti isu keterjaminan makanan ternakan, ketidakstabilan harga bahan mentah serta keperluan penyelidikan dalam pemakanan haiwan bagi meningkatkan kadar tumbesaran dan produktiviti ternakan.
“Diharapkan segala perkongsian ini dapat memberi semangat kepada golongan muda untuk menceburi bidang penternakan secara profesional dan berdaya saing,” ujarnya.
0 Comments