Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 25 April – Penubuhan Ruang Daya Cipta (RDC) di Kota Bharu adalah inisiatif penting dalam merancakkan agenda pembangunan teknologi dan inovasi rakyat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penubuhan RDC itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
“Program ini mencerminkan komitmen bersama kerajaan negeri dan MOSTI untuk memperluas budaya teknologi dan inovasi dalam kalangan rakyat, sekali gus memperkasa pelaksanaannya di peringkat akar umbi.
“Usaha ini amat signifikan terhadap pembangunan potensi anak muda menerusi latihan kemahiran, penghasilan produk serta pemupukan budaya penciptaan dalam kalangan masyarakat Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian RDC Kota Bharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini semalam.
Dato’ Wan Roslan turut merakam penghargaan kepada MOSTI dan YIM atas pemilihan Kelantan sebagai lokasi RDC, sekali gus mengiktiraf peranan YIM dalam membangun serta menguruskan inisiatif berkenaan di negeri ini.
“Melalui pendekatan inklusif, YIM berjaya menjadikan inovasi sebagai sesuatu yang dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar, belia dan komuniti desa,” katanya.
Untuk rekod, RDC Kota Bharu merupakan yang ke-21 ditubuhkan di seluruh negara, dan yang kedua di Kelantan selepas RDC Tumpat.
Operasi harian RDC dikendalikan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan RDC Kota Bharu merupakan sebahagian daripada pelan strategik kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan inovasi dan membudayakan sains selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Kelantan 2030.
“Inisiatif ini menjadi bukti komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan ekosistem teknologi secara menyeluruh, memacu pertumbuhan ekonomi digital serta merangsang aktiviti keusahawanan tempatan,” jelasnya.
Dato’ Wan Roslan turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengutamakan integrasi ilmu agama dan sains dalam sistem pendidikan di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Ini dapat dilihat melalui penubuhan enam buah Maahad Tahfiz Sains yang menggabungkan pengajian tahfiz al-Quran dengan subjek-subjek sains seperti fizik, kimia, biologi dan matematik bagi melengkapkan pelajar menghadapi peperiksaan utama negara,” katanya.
Majlis perasmian RDC Kota Bharu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei, yang mewakili Menteri MOSTI YB Chang Lih Kang.
Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama YB Dr Hafidzah Mustakim dan Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh.
0 Comments