Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN YAKIN FASILITI UNTUK SUKMA 2028 SIAP IKUT JADUAL

YB Zamakhshari Muhammad
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 27 April – Kerajaan Negeri Kelantan yakin pembinaan infrastruktur bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXIII 2028 akan siap mengikut jadual ditetapkan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad, berkata terdapat tujuh komponen fasiliti yang dirancang, di mana tiga daripadanya sedang dalam pembinaan, manakala empat lagi berada dalam proses perolehan tender.

"Sebenarnya, pembinaan ketujuh-tujuh komponen tersebut mempunyai jadual masing-masing. Stadium utama di Bukit Merbau, contohnya, dijangka siap pada 23 Februari 2027, manakala komponen yang dijangka paling lewat siap ialah arena tertutup di Pasir Puteh, iaitu pada 20 September 2027.

"Jadi, mengikut jadual, pembinaan semua tujuh komponen tersebut akan siap sebelum berlangsungnya temasya SUKMA 2028 yang dijadualkan pada pertengahan atau suku ketiga tahun 2028.

"Insya Allah, kita yakin dengan kemampuan pihak kontraktor yang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyiapkan projek ini sebelum SUKMA 2028," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi podcast Zon Anak Muda (ZAM) yang disiarkan pada Sabtu. Program kendalian moderator Syuwari Mohamed itu membincangkan isu berkaitan pembinaan infrastruktur dan persiapan atlet untuk SUKMA 2028.

Sebelum ini, YB Zamakhshari telah membentangkan persiapan dan persediaan Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2028 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh. Mesyuarat tersebut sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan penganjuran SUKMA XXIII kepada Kelantan.

Mengulas persiapan menghadapi SUKMA XXII di Selangor tahun depan YB Zamakhshari memaklumkan bahawa Kelantan telah mengambil langkah awal, termasuk melakukan rombakan kecil dari segi pemilihan jurulatih menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN).

"Dan insya Allah, pada bulan Mei atau Jun nanti, kita akan mengadakan retreat untuk menyusun semula barisan kejurulatihan dan menetapkan sasaran pingat.

"Di peringkat MSN sendiri pun, sudah ada pelan strategik 10 tahun (2021–2030) yang merangkumi tiga peringkat pembangunan atlet, bermula dari peringkat bakat, pelapis, hingga ke peringkat elit," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments