Ticker

6/recent/ticker-posts

KILANG BERAS DARULNAIM MULAKAN OPERASI PERCUBAAN, SASAR PERKASA INDUSTRI PADI KELANTAN



Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 28 April – Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn. Bhd. di Meranti, Pasir Mas memulakan operasi percubaan pemprosesan padi sebagai persediaan sebelum beroperasi sepenuhnya. 

Usaha tersebut dijangka memperkasa industri padi dan beras di Kelantan.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sebanyak lapan treler padi telah dimasukkan ke kilang berkenaan bagi tujuan pengujian sistem pemprosesan.

"Operasi percubaan ini melibatkan lapan treler padi bagi menguji kecekapan sistem pemprosesan sebagai persediaan menghadapi operasi penuh tidak lama lagi.

"Semoga kilang ini menjadi tunjang kepada pemerkasaan industri padi dan beras di Kelantan serta menjadi pemangkin kepada kesejahteraan pesawah dan rakyat negeri ini," katanya menerusi satu catatan di media sosial pada Ahad.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan rasmi ke kilang berkenaan bersama Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) Mukhlis Mokhtar, Pengarah Kilang Mohd Rodi Nor, Penghulu Mukim Tasek Berangan Mohd Hakimi Hamzah serta para pesawah dan penduduk setempat.

Sempena lawatan itu, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin turut mengimamkan solat hajat sebagai simbolik kesyukuran dan memohon keberkatan atas permulaan operasi kilang tersebut.

Dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa operasi penuh kilang berkenaan dijangka bermula pada akhir Ogos tahun ini.

Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn. Bhd. mempunyai keupayaan memproses sehingga 600 metrik tan padi sehari. 

Selain itu, kilang tersebut juga menyediakan kemudahan penyimpanan padi kering berkapasiti melebihi 40,000 metrik tan.




Post a Comment

0 Comments