Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 3 April - Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan rasa terharu atas kehadiran ribuan anak perantau ke Majlis Mesra Aidilfitri bersama Pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan.
Beliau menzahirkan perasaan tersebut ketika merasmikan program di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong pada Selasa.
Beliau bersyukur dengan kehadiran anak-anak Kelantan dari pelbagai pelosok tanah air dan luar negara, yang tidak melupakan akar budaya serta tanah tumpah darah sendiri.
Para perantau dianggap sebagai individu yang berperanan penting dalam membawa imej Kelantan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya menyeru agar lebaran ini dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga serta memperkukuhkan semangat persaudaraan Islam. Islam akan menjadi kuat apabila kita semua bersatu-padu,” katanya.
![]() |
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Dato' Mohd Nassuruddin turut merakamkan penghargaan terhadap kepakaran yang dimiliki anak-anak perantau dalam pelbagai bidang dan mengalu-alukan sumbangan idea serta buah fikiran mereka bagi membangunkan negeri.
Menurutnya, sinergi di antara perantau dengan pemimpin kerajaan negeri amat penting dalam usaha memperkasakan Kelantan ke arah yang lebih maju dan sejahtera.
Majlis kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu dihadiri oleh saf kepimpinan kerajaan negeri serta anak-anak perantau yang berkesempatan pulang ke Kelantan bagi meraikan Syawal.
Pada kesempatan itu juga, Menteri Besar dan seluruh pemimpin turut beramah mesra dengan lebih 1000 hadirin dan mendoakan mereka selamat tiba ke destinasi masing-masing setelah menikmati kemeriahan Aidilfitri di kampung halaman.
0 Comments