Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 6 April – Manifestasi budaya perpaduan rakyat Kelantan terus diperkukuh di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan berlandaskan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam.
Sehubugan itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kelantan menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri tahun ini yang dijadualkan berlangsung pada 10 April di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, rumah terbuka yang bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 2.00 petang kali ini membawa tema "Kelantan Model Perpaduan" sebagai lambang penyatuan masyarakat pelbagai latar belakang sempena sambutan Aidilfitri 1446H.
“Semua rakyat Kelantan dipersilakan hadir. Kita kekalkan suasana penuh kemeriahan dan perpaduan rakyat sebagai tema program tahun ini. Sebanyak 35 stesen makanan dan minuman akan disediakan bagi meraikan pengunjung.
![]() |
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat |
“Lapan kawasan menyediakan gulai kawah, kambing perap dan kambing golek selain juadah tradisional serta sajian mengikut citarasa semasa.
“Pengunjung juga boleh melihat pameran berkaitan pembangunan dan kemakmuran negeri oleh empat agensi kerajaan negeri turut memeriahkan suasana,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.
Antara pengisian menarik yang menanti pengunjung ialah Pertandingan Gerai Tercantik melibatkan PAS Kawasan yang turut menampilkan kreativiti dalam pertandingan menghias pulut hijau dan putih sebagai simbolik kepada warna rasmi parti.
“Pulut telah siap ditanak dan peserta hanya perlu menumpukan kepada aspek hiasan. Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai berserta piala pusingan, dan ia terbuka kepada semua kawasan PAS dalam negeri,” jelasnya lagi.
Di samping itu, aktiviti santai dan interaktif bersama pengunjung pula disediakan melalui Pertandingan Teh Tarik Anak Muda mewakili 14 kawasan dijangka memeriahkan program.
Tetamu kehormat dijangka hadir termasuklah pemimpin parti-parti komponen, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua agama.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Wan Roslan turut memaklumkan bahawa PAS Kelantan telah mula menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Air Kuning bermula 4 hingga 12 April ini.
“Gelombang pertama jentera kawasan telah digerakkan. Empat Unit Daerah Mengundi (UDM) ditugaskan dengan minimum 15 petugas bagi setiap kawasan,” katanya.
Mengulas mengenai kebimbangan terhadap nasib pelajar Kelantan di Timur Tengah ekoran pergolakan berterusan di Gaza, beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri menjelaskan bahawa kerajaan negeri masih menunggu laporan rasmi daripada Wisma Putra.
“Kami sentiasa mengikuti perkembangan dan bersedia memberi bantuan sewajarnya sekiranya diperlukan,” ujarnya.
0 Comments