Ticker

6/recent/ticker-posts

SULTAN KELANTAN TITAH FOKUS PEMBANGUNAN INKLUSIF, TANGANI BANJIR DAN PERKUKUH KESELAMATAN SEMPADAN


Oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 21 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V menitahkan agar segala usaha pembangunan di negeri Kelantan dirangka secara lebih inklusif dan mampan, dengan memberi penekanan terhadap isu banjir, pemerkasaan ekonomi tempatan dan keselamatan sempadan.

“Pembangunan yang bersifat menyeluruh dan lestari mesti menjadi asas utama dalam dasar negeri,” titah baginda semasa Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan ke-15 yang berlangsung di Kota Darulnaim, hari ini.

Baginda menekankan keperluan segera untuk menyegerakan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok, termasuk pembinaan Empangan Lebir yang dikenal pasti sebagai penyelesaian utama mengatasi bencana banjir berulang di negeri ini.

“Beta menggesa projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi semua fasa untuk mengatasi isu banjir di negeri ini.


“Keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir, yang menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan,” titah baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di kawasan Sungai Golok.

“Cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan dengan segera,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menyatakan sokongan terhadap kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam usaha pembangunan infrastruktur, optimasi tanah, pertanian dan pemeliharaan biodiversiti.

“Kerjasama strategik antara kedua-dua pihak ini penting demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” titah baginda.

Dalam konteks pembangunan ekonomi, baginda menyeru agar pelaksanaan Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1 RMK13) memberi tumpuan kepada sektor pembuatan bagi menarik pelaburan, di samping memantapkan jaringan jalan raya, penyediaan bekalan air bersih, pembangunan pertanian dan pelancongan.

Baginda turut menyarankan agar Kerajaan Negeri meneliti potensi pendidikan alternatif, terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sejajar dengan keperluan industri semasa.

Post a Comment

0 Comments