SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: "Kadang-kadang kita masuk ke kedai kopi yang tak pernah jejaki, malah pemiliknya bukan penyokong ‘hijau’. Tapi alhamdulillah, mereka sambut baik,” kata Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.
Katanya, amalan turun padang singgah di kedai kopi memberi banyak manfaat kepada rakyat dan dapat mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.
Katanya pendekatan itu turut membuka ruang perbincangan santai yang menghasilkan pelbagai cadangan program untuk manfaat penduduk tempatan.
“Baru-baru ini ketika singgah di sebuah kedai kopi di Lundang, di mana pertemuan tidak rasmi itu bertukar menjadi ‘mini mesyuarat’ bagi membincangkan pelaksanaan program kampung.
"Hasilnya kejohanan karom dianjurkan di kawasan itu yang majoritinya penyokong Umno melibatkan penyertaan 32 regu.
“Apa yang membanggakan, mereka minta saya berucap pada majlis itu. Ini satu perkembangan positif,” ujarnya pada sesi ‘lepak kedai kopi’ di Dun Bunut Payong semalam.
Sebanyak 10 keluarga diziarahi bersama petugas MTD Bunut Payong termasuk penghulu mukim pada program tersebut.
Beliau juga berkata, pendekatan turun diteruskan melalui program ziarah secara berkala penduduk, termasuk warga emas, pesakit dan keluarga petugas parti.
Menurutnya program ziarah diadakan seminggu sekali iaitu pada hari Rabu.
0 Comments