Ticker

6/recent/ticker-posts

PUSPA TERUS PERKASA ANAK BANGSA MELALUI PROGRAM PEMBANGUNAN INSAN ANAK ANGKAT


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 29 Mei — Demi memartabatkan pendidikan dan pembinaan jati diri dalam kalangan generasi muda, Persatuan Kemajuan Wanita Profesional Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) terus memacu langkah melalui Program Pembangunan Insan Anak Angkat.

Ia sebuah inisiatif kemasyarakatan yang kian kukuh sejak mula dilaksanakan secara rasmi pada tahun 2016.

Program yang mendapat sokongan berterusan melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 2017 tersebut merupakan manifestasi kesungguhan NGO wanita profesional itu dalam memperkasa potensi remaja dari sudut akademik, sahsiah serta kemahiran abad ke-21.

Menurut Presiden PUSPA Prof. Emeritus Dr. Azizah Hamzah, usaha yang bermula secara tidak formal sejak awal pelaksanaan Program Anak Angkat PUSPA telah berkembang secara konsisten.


“Pada tahun 2016, kita mulakan pendekatan formal melalui program di Sekolah Menengah Sains Machang dengan penekanan kepada kemahiran berfikir dan kemahiran belajar,” ujarnya ketika ditemui media di Pejabat MAIK, Lundang pada Isnin.

Beliau ditemui selepas menyerahkan cek cura zakat berjumlah RM24,150 kepada Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah, sebagai simbolik komitmen PUSPA terhadap pembangunan ummah.

Kata Prof Emeritus Dr. Azizah lagi, kerjasama dengan MAIK yang terjalin sejak 2017 telah membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk anak angkat PUSPA dan pelajar MAIK menyertai program yang diadakan secara berkala.

Bermula di Pusat Kokurikulum Bachok, fokus utama program adalah peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan peserta.


Tahun 2018 menyaksikan program dijalankan di SK Sokor dan SM Ladang Kerilla, dengan peruntukan khas daripada MAIK, manakala pada 2019, satu pendekatan baharu diperkenalkan melalui program inap desa di Bachok selama dua hari satu malam, yang menekankan pembinaan jati diri dan nilai kepemimpinan.

“Setiap lokasi dan pendekatan yang kami laksanakan adalah berdasarkan penilaian keperluan dan impak kepada para pelajar.

"Aspek komunikasi Bahasa Inggeris dan nilai sahsiah menjadi keutamaan agar mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Seperti kebanyakan inisiatif sosial lain, program berkenaan terpaksa dihentikan sementara antara tahun 2020 hingga 2022 akibat pandemik COVID-19.


Namun, PUSPA kembali dengan nafas baharu pada tahun 2023 menerusi Program Motivasi Kendiri dan Bahasa Inggeris yang diadakan di Dewan MAIK, sekali lagi dengan sokongan kewangan MAIK dan dimudahcarakan oleh Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Kelantan Norina Muhammad yang juga Jawatankuasa PUSPA.

Melangkah ke tahun 2025, PUSPA memperkenalkan fasa terkini program dengan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran kecerdasan buatan (AI), satu usaha bersifat futuristik yang disasarkan berlangsung di Dewan SK Zainab 2 pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Kita sedang menunggu peruntukan rasmi daripada MAIK bagi merealisasikan hasrat ini. Kita percaya, penguasaan AI akan memberi kelebihan kompetitif kepada pelajar, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga global,” ujar beliau penuh optimis.

Melangkaui program kebajikan, usaha PUSPA menjadi medium ampuh untuk mencetus perubahan sistemik dalam kehidupan anak-anak asuhan mereka.

"Gabungan wanita profesional yang mendukung nilai-nilai keilmuan, kepimpinan dan kasih sayang, menjadikan PUSPA relevan sebagai suara kemajuan wanita dan keluarga.

“Zakat ini bukan hanya untuk menyempurnakan kewajipan, tetapi sebagai tanda sokongan kami terhadap pembangunan akar umbi. Setiap sen yang disumbangkan adalah pelaburan masa depan generasi muda.

“Hasratnya, dengan pendekatan yang inklusif dan berpandangan jauh, PUSPA terus menzahirkan keupayaan NGO wanita profesional dalam membina jambatan antara komuniti dan peluang, selaras dengan prinsip Islam yang menekankan pembangunan insan sebagai asas kemajuan ummah,” ujar Prof. Azizah.

Post a Comment

0 Comments