Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 8 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Warisan mengalakkan lebih ramai sarjana dan pengkaji sejarah di rantau ini memperluaskan penyelidikan nasab dan warisan.
Sehubungan itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamaruddin Md Nor bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan menyokong penuh penganjuran Hari Kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra (HSJK) yang dijadual berlangsung pada 10 Mei ini.
Beliau menzahirkan sokongan tersebut ketika menerima kunjungan Jawatankuasa Sekretariat HSJK di pejabat beliau pada Ahad lalu.
Beliau menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama sekiranya program tersebut mahu dijadikan acara tahunan.
“Kita terbuka untuk menjadi penganjur bersama melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) atau Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan pada masa akan datang. Saya mencadangkan agar lokasi program dipertimbangkan di tempat yang lebih selesa dan sesuai dengan keperluan prasarana pelancongan dan kebudayaan,” ujarnya.
Tambah Datuk Kamaruddin, program HSJK mempunyai hala tuju yang jelas berdasarkan empat teras utama iaitu Ikatan Kekeluargaan atas Nasab, Keilmuan, Kerohanian dan Khidmat, yang diperincikan lagi melalui empat objektif iaitu Silaturrahim, Erat Muafakat, Kasih Leluhur serta Memartabatkan Budaya, Adat dan Warisan.
Beliau turut mencadangkan agar satu Wacana Ilmiah dianjurkan pada masa akan datang, melibatkan penyertaan pengkaji sejarah dan ahli akademik dari universiti-universiti tempatan bagi membincangkan kaedah penentuan nasab yang lebih terperinci dan berwibawa.
Saranan tersebut disambut baik oleh Pengarah Program KSJK 2025 Syahrizal Abd Samat, yang memaklumkan bahawa penglibatan sarjana dan pakar sejarah sangat penting bagi memastikan pengkajian terhadap tokoh ulung seperti Syaikh Jumadil Kubra dapat dilakukan secara ilmiah, terbuka dan berfakta.
“Pihak Datuk Exco memberi dorongan agar lebih ramai sarjana dan pengkaji sejarah di Nusantara tampil membuat kajian terbuka tentang keturunan dan sumbangan tokoh besar ini agar pengetahuan mengenai warisan leluhur dapat diperluas secara ilmiah dan tidak hanya bergantung kepada cerita lisan semata-mata,” jelas Syahrizal yang juga Perunding Akademi Kajian Rantau Nusantara (AKAR).
Dalam pada itu, Datuk Kamaruddin turut menzahirkan keyakinan bahawa penganjuran program HSJK secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pengukuhan ekonomi rakyat dan negeri Kelantan.
“Ribuan pengunjung yang hadir bukan sahaja menjayakan program, tetapi juga menyumbang kepada aktiviti ekonomi melalui sektor pelancongan, perhotelan dan perkhidmatan,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.
Beliau optimis bahawa program HSJK dijangka menarik penyertaan meluas dari pelbagai negeri serta wakil keluarga besar keturunan Syaikh Jumadil Kubra, tokoh yang dikenang kerana peranan pentingnya dalam penyebaran Islam dan pembentukan jaringan keturunan yang berakar dalam sejarah rantau Nusantara bermula di Kampung Laut, Tumpat dan Bukit Panau, Tanah Merah.
Oleh itu, beliau turut menyarankan agar portal rasmi pelancongan negeri Kelantan dipromosikan kepada seluruh ahli keluarga yang hadir supaya transaksi ekonomi dapat dirancakkan lagi melalui pendekatan digital.
0 Comments