![]() |
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
PASIR PUTEH, 29 Mei – Masyarakat diseru agar segera mengubah persepsi negatif bahawa pekerjaan dalam sektor pertanian adalah lapuk dan tidak menjanjikan pulangan lumayan, sebaliknya melihatnya sebagai industri strategik yang menjamin masa depan negara.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa kerajaan negeri kekal istiqamah dalam melestarikan amanat mantan Menteri Besar Almarhum YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Kelantan akan terus berdiri teguh sebagai negeri pertanian.
“Meskipun negeri-negeri lain bergerak ke arah perindustrian, Kelantan tetap dengan pendirian menjadikan sektor pertanian sebagai tunjang pembangunan negeri.
“Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sangat berpandangan jauh. Beliau menegaskan bahawa Kelantan harus menjadi ‘Baloh Negara’. Kini seluruh dunia bercakap tentang sekuriti makanan, dan inilah bukti betapa visi beliau mendahului zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Karnival Bio Kelantan (BioK) dan Ekspo Dapur Hijau (EDH) 2025 yang berlangsung di Pantai Bisikan Bayu, di sini, hari ini.
Tambahnya, penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian dan industri hiliran makanan amat penting demi memastikan kesinambungan pengeluaran makanan negara dapat dipertahankan dalam jangka panjang.
“Anak muda perlu bangkit mengambil peluang dalam sektor pertanian moden, menggunakan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan kaedah inovatif bagi menghasilkan produk berdaya saing untuk pasaran tempatan dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya lagi, pendekatan kreatif dan integrasi teknologi dalam bidang pertanian bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan mampu mengangkat martabat pekerjaan tersebut setanding industri lain yang lebih konvensional.
"Karnival BioK dan EDH 2025 merupakan salah satu platform terbaik sinergi 36 agensi kerajaan negeri dalam mempromosi kelestarian pertanian berasaskan teknologi hijau, serta mengetengahkan produk tempatan dalam ekosistem bioindustri dan pemakanan sihat, sekali gus memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan makanan dan pemuliharaan sumber alam," jelasnya.
0 Comments