Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PELOPOR MODEL SUKAN ISLAMIK

YB Zamakhshari Muhamad,
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 29 Mei - Kerajaan Negeri Kelantan menjadi pelopor kepada model sukan Islamik apabila menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi menjayakan pembangunan dasar dan polisi sukan mesra Islam Negeri Kelantan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad menzahirkan keyakinan bahawa dasar tersebut dapat memperkasakan generasi muda Kelantan ke arah yang lebih cemerlang, seterusnya menyumbang kepada matlamat besar Kerajaan negeri dalam merealisasikan visi Kelantan sejahtera 2033.

Katanya, dasar tersebut akan menjadi kompas bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang mana Kelantan menjadi tuan rumah.

"Dasar dan polisi sukan mesra Islam yang dirangka ini akan menjadi kompas utama bagi menjadikan penganjuran SUKMA 2028 benar-benar mencerminkan identiti Kelantan sebagai negeri Islam yang terbuka, progresif dan bersatu hati.


"Melalui dasar ini, kita mahu mengangkat SUKMA sebagai sebuah temasya yang bukan hanya gah dari sudut prestasi, malah menjadi teladan dari aspek nilai, adab dan juga kesatuan.

"Dalam menjayakan hasrat ini, kerjasama erat dari industri sukan dan juga pelancongan amatlah penting, di mana kedua-dua sektor ini merupakan rakan strategik yang mampu membina ekosistem sukan yang holistik, bukan sahaja menumpukan pembangunan prestasi atlet, malah turut menjana ekonomi dan memperkayakan budaya tempatan."

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam negeri Kelantan, di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan UM di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

YB Zamakhshari turut berharap agar semua pihak seperti agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO dan pemimpin komuniti, persatuan sukan dan rakyat Kelantan untuk sama-sama mendokong dasar ini dengan menjadikan nilai Islam dan semangat perpaduan sebagai tunjang kepada aktiviti kesukanan yang sihat, inklusif dan progresif.


Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan menghadapi cabaran yang besar dalam melaksanakan dasar polisi sukan mesra Islam berkenaan dalam penganjuran SUKMA 2028, namun beliau tetap yakin dapat menghadapinya berdasarkan pengalaman pentadbiran Kelantan selama 35 tahun.

"Kalau kita ambil kira sejarah awal pemerintahan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam, apabila kerajaan pada masa itu mengambil polisi memindahkan semua akaun daripada bank konvensional kepada bank Islam, telah timbul pelbagai tohmahan, bantahan dan sebagainya, tetapi hari ini kita dapat lihat hasil dari tindakan tersebut, hampir semua bank di negara ini mempunyai kaunter perbankan islam.

"Begitu juga dalam kes dasar dan polisi sukan mesra Islam ini, saya yakin dengan tindakan berani kita ini membawa satu perubahan.

"Alhamdulillah melalui perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan, persatuan-persatuan sukan dan sebagainya, secara asasnya mereka menyokong penuh usaha Kelantan untuk menjadikan SUKMA 2028 ini adalah SUKMA mesra syariah (Islam)," tegas beliau.

Tambahnya, kerjasama strategik dengan universiti Malaya merupakan satu langkah bijak dan amat dihargai.

YB Zamakhshari mengakui bahawa segala sumbangan dari segi kepakaran, penyelidikan dan pemikiran strategik akan memperkukuhkan pelaksanaan dasar ini terutamanya menjelang SUKMA 2028 yang mana Kelantan menjadi tuan rumah.

"Apabila kita bekerjasama dengan UM, pelbagai kepakaran boleh digunakan. Bukan sekadar Fakulti Syariah atau Akademi Islam sahaja, tetapi melibatkan Fakulti Sains Sukan dan juga Fakulti Perubatan.

"Jadi kita mahu menganjurkan SUKMA yang cemerlang dari sudut organisasi, nilai akhlak dan penerimaan masyarakat.

Maka dasar ini akan menjadi kompas yang akan membimbing kearah penganjuran yang berteraskan mesra Islam dan mempunyai nilai-nilai inklusif," tambahnya.

Ujar YB Zamakhshari lagi, di peringkat majlis sukan dan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pun masih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya hala tuju Kelantan dalam membawa sukma 2028.

Katanya, antara persoalan yang di ditimbulkan adalah pembinaan pusat akuatik.

"Kerajaan pusat memperuntukan puluhan juta untuk membinanya, namun adakah Kelantan akan menganjurkan sukan renang?

"Insya Allah persoalan itu akan terjawab apabila kita selesai dasar sukan mesra Islam ini. Insya Allah ada jalan penyelesaiannya," ujarnya.

Dalam majlis pertukaran dokumen tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Ahmad Adlie Yasin manakala UM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi Prof Ir. Dr. Kaharudin Dimyati.

Hadir sama, Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Bahari Mohamad Nor dan Setiausaha Politik Menteri Besar Dr. Nazmi Ghazali Azmi.

Post a Comment

0 Comments