Ticker

6/recent/ticker-posts

PASAR BESAR SITI KHADIJAH BERWAJAH BAHARU, 8/10 PROJEK NAIK TARAF RM5.5 JUTA SIAP SEPENUHNYA


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 17 Jun – Usaha menaik taraf dan membaik pulih secara menyeluruh mercu tanda warisan niaga wanita Kelantan Pasar Besar Siti Khadijah, kini hampir mencapai penyempurnaan sepenuhnya dengan kos keseluruhan RM5.5 juta.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, lapan daripada sepuluh komponen utama kerja fizikal telah siap sepenuhnya, manakala dua lagi sedang giat diselesaikan.

Katanya, projek yang bermula sejak Oktober 2024 itu dijalankan secara berfasa bagi memastikan gangguan kepada peniaga dan pengunjung diminimumkan serta standard keselamatan dipatuhi.

YB Hilmi Abdullah,
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar

"Pasar ini bukan sekadar tempat jual beli, tetapi simbol jati diri dan daya tahan ekonomi mikro rakyat Kelantan. Transformasi ini penting bagi mengekalkan relevansi Pasar Besar Siti Khadijah dalam landskap perdagangan moden sambil terus mengangkat ciri tradisi dan budaya tempatan," jelas YB Hilmi.

Lapan komponen siap sepenuhnya ialah naik taraf Tandas Sejahtera dan kerja-kerja berkaitan yang berjumlah RM250,000. Begitu juga naik taraf bumbung dan kerja mengecat luar dan dalam tandas bernilai RM90,000 dan naik taraf sistem bekalan air utama pasar memakan belanja RM200,000.

Seterusnya, pembaikan longkang sekeliling pasar bernilai RM200,000 dan baik pulih sistem pelongsor sampah (chute system) pula berjumlah RM100,000 serta pembaharuan bumbung Pasar Kuih melibatkan kos RM200,000. Termasuklah, kerja mengecat semula keseluruhan bangunan menelan dana RM750,000.


Tambah YB Hilmi, kerja-kerja baik pulih ‘Scupper Drain’, jubin lantai dan tangga bernilai RM500,000 pun sudah siap.

Manakala penyenggaraan elektrik bagi empat zon pasar pula melibatkan kos RM2,000,000. Kemajuan terkini mencapai 40 peratus dalam memastikan pencahayaan lebih efisien, litar sokongan dan kecekapan tenaga untuk suasana niaga lebih cerah, selamat dan moden.

Terakhir ialah naik taraf sistem pencegahan kebakaran berjumlah RM500,000 yang melibatkan pemasangan pengesan asap, pemadam automatik dan laluan kecemasan terkini bagi mematuhi piawaian keselamatan nasional dengan peratus kemajuan semasa sebanyak 5 peratus.


YB Hilmi turut menekankan keperluan pemantauan berkala oleh pihak berkuasa tempatan agar penyelenggaraan infrastruktur dapat dijaga dengan baik bagi jangka masa panjang.

“Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada pelaksana projek Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan dan KPKT atas semangat federalisme semua kerja ini telah disiapkan 100 peratus mengikut jadual dan piawaian yang ditetapkan.

"Kita yakin projek ini dapat memberikan nafas baharu dari segi kebersihan, keselesaan dan estetika kepada premis tumpuan penduduk tempatan dan pelancong,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.



Post a Comment

0 Comments