Al-Quran usia 1,000 tahun ada di Narathiwat


Oleh ASLANI M

NARATHIWAT: Tanpa usaha dilakukan Khalifah Abu Bakar sudah tentu umat Islam hari ini tidak dapat menatap naskhah al-Quran.

Usaha pengumpulan dan pembukuan al-Quran berlaku ketika itu dilakukan atas nasihat Saidina Umar kerana bimbang kehilangan hafalan al-Quran setelah ramai hafiz gugur syahid dalam peperangan. 

Ketika itu al Quran ditulis di kulit binatang, kepingan kayu, pelepah tamar, tulang, dan batu. Pada zaman tersebut kertas belum wujud. 

Generasi sekarang tidak dapat lagi melihat naskhah al-Quran yang bukan dicetak di helaian kertas. 

Namun, Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah di Kampung Sela Anak Ayam, Daerah Yingo Mukim Lahan, Narathiwat melakukan usaha mengumpul naskhah lama al-Quran, kitab-kitab lama dan peralatan membuat kertas.


Usaha murni itu dilakukan Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad Samae kira-kira 20 tahun lalu dengan mewujudkan Pusat Manuskrip di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah.

Sehingga sekarang terdapat ratusan naskhah al-Quran dan kitab-kitab agama lama disimpan dan dibaikpulih di pusat manuskrip tersebut.

Dan 70 daripada manuskrip tersebut dikatalog oleh penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dijalankan pada tahun 2016 sehingga 2018.

Penyelidik USIM menyifatkan warisan Islam di Nusantara tersebut ada kaitan dengan legasi Islam di seluruh pelusuk dunia.

“Penemuan pelbagai artifak menjadi bukti ketamadunan Melayu yang berasaskan ketamadunan Islam.

“Usaha giat yang dijalankan Pusat Manuskrip Narathiwat yang diasaskan Ustz Muhammad Lutfi wajar diberi sanjungan tinggi. 

“Pusat tersebut mengumpul pelbagai artifak seperti al-Quran, buku, senjata dan sebagainya. Bahan-bahan itu telah dipulihara hasil kerjasama Muzium Thailand dan kerajaan Turki,” katanya pada prakata buku Katalog Manuskrip Koleksi Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah, Narathiwat.

Muzium tersebut turut menempatkan naskhah al-Quran yang ditulis pada kulit kambing berusia kira-kira 1,000 tahun yang dibawa dari Hadralmaut, Yaman.

Naskhah tersebut disimpan di dalam kotak kaca selepas dibaik pulih. Di lokasi terbabit juga terdapat puluhan lagi kitab-kitab lama termasuk berasal dari Malaysia, Indonesia dan pelbagai negara.

Al-Quran paling indah di alam Melayu juga terdapat di muzium tersebut. Ia dihiasi dengan air emas di setiap awal surah dengan sebanyak 30 ragam kasa.

Naskhah tersebut siap ditulis pada tahun 1134 Hijriah telah dibaik pulih oleh Perpustakaan Sulaimiyah di Istanbul, Turki pada tahun 2016.

Selain itu terdapat manuskrip pengajian ilmu turah kepunyaan Tok Kenali. 

Naskhah tersebut sebelum ini disimpan di sebuah pondok di Kubang Kerian, Kelantan. 


Terdapat juga manuskrip kitab Tok Ku Paloh bertajuk ‘Nasihat Pada Raja dan Rakyat Jelata’. Ia dibawa dari Chabang Tiga Kuala Terengganu.

Al-Quran tulisan tangan pada kulit binatang yang berusia lebih 300 tahun berasal dari Beserah, Pahang turut disimpan di muzium tersebut.

Post a Comment

0 Comments