Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Keupayaan pasukan The Real Warriors Kelantan (TRW) beraksi di Liga Super bukan sesuatu yang mudah kerana ia bermula dari sebuah kelab tidak dikenali.
Kelantan Darul Naim (KDN) FC bermula sebagai kelab MPKB-BRI dan bermain di liga bawahan.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, kelab itu bermula dari bawah sehingga berjaya beraksikan di Liga Super.
Katanya, kehadiran KDN FC sebagai penyelamat maruah bola sepak Kelantan apabila The Red Warriors (TRW) kehilangan kelayakan ke Liga Super.
“Tiket untuk berada di Liga Super sangat mahal harganya, bukan mudah. Jadi apabila TRW hilang kelayakan, kewujudan KDN FC dalam Liga Super menyelamatkan Kelantan daripada terus tercicir,” katanya pada sidang media di sini petang semalam.
Annuar yang juga bekas menteri dilantik sebagai Presiden The Real Warriors Kelantan (TRW) berkuat kuasa serta merta.
Menurutnya, beliau diberi tawaran menerajui TRW minggu lepas, bagaimanapun mengambil sedikit masa untuk memahami masalah sedia ada.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TRW, Dato’ Mohd Irwan Rizal Ali dan mengadakan perjumpaan bersama pihak pengurusan kelab.
“Saya membuat keputusan menerima tawaran ini dan menggalas tanggungjawab sebagai Presiden TRW secara rasmi mulai hari ini.
“Saya ucapkan terima kasih atas penghormatan yang diberi Datuk Irwan dan Presiden KDN FC sebelum ini Rozi Muhamad,” katanya.
Menurutnya juga beliau menyambut tanggungjawab itu bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak Kelantan.
Katanya beliau meneliti semua permasalahan yang dihadapi dan menilai pembaharuan dalam pentadbiran dan struktur pasukan.
“Saya berharap penyokong kena faham, jangan lagi ada yang mengungkit ini pasukan MPKB-BRI dan sebagainya. Inilah skuad yang kini mewakili Kelantan.
“Semua pihak perlu mencontohi bagaimana pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membina kejayaan bermula dari bawah.
“Mereka dulu hanya bermain di Stadium Pasir Gudang, tetapi usaha yang konsisten akhirnya menjadikan pasukan yang unggul sehingga peringkat antarabangsa,” katanya.
Annuar pernah menerajui era kegemilangan bola sepak Kelantan pada tahun 2010 sehingga berjaya menjulang Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.



0 Comments