Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 8 Julai – Prinsip kerja secara kolektif menjadi tonggak utama kejayaan pentadbiran di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan hal demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 di Dewan Teratai, hari ini.
Menurutnya, dalam gerak kerja organisasi, tiada usaha bersifat bersendirian kerana kejayaan individu mencerminkan keunggulan keseluruhan jabatan yang berteraskan prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI).
“Kecemerlangan individu adalah lambang kecemerlangan jabatan. Bagi memastikan penjawat awam berminda kelas pertama, Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang sudah memasuki tahun ke-35 pentadbiran Kelantan terus dijadikan acuan dengan menekankan nilai-nilai Islam sebagai teras budaya kerja," jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam berperanan penting dalam menjayakan aspirasi kerajaan negeri melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, penguasaan teknologi digital serta pemikiran yang kreatif dan mesra rakyat.
Mengulas lanjut, beliau merujuk pandangan Imam Fakhruddin al-Razi bahawa kehidupan yang sempurna ialah berpegang pada kebenaran yang bersandarkan al-Quran dan hadis.
Menteri Besar turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima APC dan berharap pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk penjawat awam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Majlis yang bertemakan Kompetensi Unggul Perkhidmatan Cemerlang menyaksikan seramai 195 penjawat awam menerima pengiktirafan APC 2024 merangkumi jabatan dan agensi negeri.
Mendahului senarai ialah 110 penerima daripada Jabatan Negeri, 12 penerima daripada Badan Berkanun Negeri dan 40 penerima daripada Pejabat Tanah dan Jajahan.
Disusuli 28 penerima daripada Bahagian dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan lima penerima daripada Urus Setia Negeri termasuk Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).
Penolong Pengarah Hubungan Seranta UPKN Ahmad Irsyad Somad Abdul Bashit dinilai layak menerima APC atas komitmen cemerlang dalam melaksanakan tugasan hakiki dan tugasan tambahan tanpa rungutan.
Beliau juga berdisiplin tinggi dan sentiasa berdedikasi menjayakan program jabatan dan penyertaan luar jabatan yang melayakkannya menerima apresiasi berupa sijil APC dan wang tunai RM1000.00.
0 Comments