Kadar Jenayah Indeks di Kelantan menurun, kejayaan Dasar PMBI


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM , 17 Julai – Kadar Jenayah Indeks di Kelantan mencatatkan penurunan ketara sebanyak 14.3% bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, apabila jumlah kes menurun daripada 1,129 kepada 967 kes.

Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penurunan sebanyak 162 kes ini disifatkan sebagai hasil langsung keberkesanan dasar pentadbiran negeri yang berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) serta pendekatan bersepadu antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa dan masyarakat.

“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keberkesanan PMBI sebagai tunjang pentadbiran negeri, malah ia turut membuktikan bahawa kerjasama antara kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sokongan masyarakat telah membuahkan hasil yang positif dalam membanteras jenayah,” katanya menerusi catatan di media sosial miliknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pencapaian ini perlu diketengahkan dengan lebih meluas sebagai gambaran sebenar terhadap kemajuan dan usaha berterusan di negeri ini, terutamanya dalam menghadapi persepsi negatif yang sering dilemparkan tanpa asas yang adil.

Kata beliau lagi, Kelantan kini diiktiraf sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia selepas Sabah, dengan nisbah hanya 96 kes Jenayah Indeks bagi setiap 100,000 penduduk.

"Rekod ini membuktikan keberkesanan pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran sosial dan jenayah, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Kelantan sebagai negeri yang komited dalam mengekang jenayah serta memastikan ketenteraman awam," katanya lagi.

Bagi memperkukuh kawalan sempadan, Timbalan Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menggesa kerajaan persekutuan agar mengkaji pembinaan tembok keselamatan di beberapa laluan yang dikenalpasti di sempadan Malaysia–Thailand.

"Inisiatif ini penting sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kawalan keselamatan serta membendung jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan kedaulatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments