Ulama’ Rabbani Penggerak Kelantan Sejahtera 2033 – TMB Kelantan

 


KOTA BHARU, 18 Julai 2025 – Timbalan Menteri Besar Kelantan menyeru agar Dewan Ulama’ PAS mengambil peranan lebih strategik dan progresif dalam mendepani cabaran umat masa kini, seiring misi negeri menuju Kelantan Sejahtera 2033.


Dalam amanat sempena Muktamar Sanawi Dewan Ulama’ PAS Negeri Kelantan Kali ke-54 di sini, beliau mengingatkan para ulama agar tidak terus kekal dalam kerangka rutin tradisional, sebaliknya menjadi penggerak utama pembaharuan umat.

“Tragedi kejatuhan Andalus pada tahun 1492 bukan disebabkan kekuatan musuh, tetapi kerana kelemahan dalaman umat – pertelingkahan sesama pemimpin, perebutan kuasa dan kebergantungan kepada kuasa luar yang meruntuhkan perpaduan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sejarah hitam tersebut perlu menjadi pedoman agar umat Islam hari ini tidak mengulangi kesilapan sama. Menurutnya, hanya kesatuan fikrah dan kepimpinan berteraskan wahyu mampu menyelamatkan umat daripada kehinaan.

Tambahnya lagi, Dewan Ulama’ perlu melahirkan ulama’ rabbani – tokoh berilmu yang memahami realiti semasa, bersifat negarawan dan mampu mencatur strategi dakwah secara berimpak tinggi.

“Ulama’ mesti menjadi benteng ideologi, membentuk pemikiran rakyat dan menjadi penasihat dasar kepada kerajaan negeri. Kita mahu ulama yang bukan sahaja mengajar di masjid, tetapi memimpin masyarakat keluar dari kegelapan zaman,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan ulama memahami isu antarabangsa seperti konflik Palestin, ketegangan Iran dan Barat, serta krisis serantau yang memberi kesan kepada ummah.

“Negeri ini tidak akan mampu mencapai kesejahteraan hakiki tanpa bimbingan ulama yang berpandangan jauh, bertindak tepat dan berani menyanggah kepalsuan,” katanya lagi.

Beliau mengakhiri ucapan dengan peringatan bahawa peranan ulama hari ini tidak boleh bersifat reaktif, sebaliknya harus bersifat menyeluruh, strategik dan mendepani cabaran zaman.

“Sejarah Andalus mengajar kita bahawa umat yang gagal menyatukan saf akan dihukum oleh zaman. Maka jangan sekali-kali kita ulangi kesilapan itu,” tegas beliau.

Post a Comment

0 Comments