KELANTAN-SINGAPURA PERKUKUH KERJASAMA PEMBANGUNAN ISLAM


Oleh: Norzana Razaly

SINGAPURA, 1 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh hubungan dua hala dalam pembangunan Islam apabila

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura YB Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara.

YB Mohd Asri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kunjungan hormat tersebut bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama erat dua hala khususnya dalam bidang pembangunan Islam dan hal ehwal masyarakat Islam antara Kelantan dan Singapura.


Sepanjang pertemuan selama sejam itu, YB Mohd Asri berpeluang membentangkan beberapa bidang kerjasama yang berpotensi dimanfaatkan bersama, antaranya meliputi pembangunan, kepimpinan dan latihan pegawai agama, potensi pembangunan industri halal Kelantan–Singapura, pembangunan keluarga, sosial dan komuniti, selain pengurusan berkaitan al-Quran dan taranum, pendidikan Islam serta pengurusan masjid.

"Insya-Allah, semua jalinan mahabbah yang dikemukakan telah mendapat perhatian dan respons yang sangat positif daripada YB Menteri dan akan dipanjangkan secara pentadbiran oleh agensi berkaitan," katanya menerusi catatan di laman media sosial rasmi beliau, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra dan komitmen pihak Singapura dalam membuka ruang kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada umat Islam kedua-dua negara.

Turut mengiringi YB Mohd Asri dalam pertemuan di Singapura hari ini ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr. Hasnan Ramli.

Post a Comment

0 Comments