DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM PERLU REALISTIK, JAGA PRINSIP DAN KENAL BUDAYA - DR. RIDHUAN TEE

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Naib Pengerusi PERKIM Kebangsaan
Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 1 Julai – Pendakwah terkenal Dr. Ridhuan Tee Abdullah menyeru agar pendekatan dakwah kepada masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina, perlu lebih berstrategi, realistik dan berpaksikan prinsip Islam sebenar tanpa menggadaikan aqidah.

Dalam ucapannya semasa Wacana Metodologi Dakwah Non Muslim 2025 di Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Isnin, beliau menegaskan bahawa masyarakat Cina sebenarnya tidak berpegang kepada satu agama mutlak, sebaliknya lebih cenderung kepada sistem kepercayaan seperti Buddha dan tradisi nenek moyang.

Kata Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan itu juga, orang Cina di Malaysia lebih memilih Kristian berbanding Islam kerana Kristian berjaya menonjolkan kejayaan luaran.

“Orang Cina lebih ramai memeluk Kristian berbanding Islam. Satu keluarga Cina biasanya ada seorang yang masuk Kristian. Ini kerana Kristian berjaya menonjolkan kejayaan luaran yang mudah dilihat dan difahami.

"Ini berbeza dengan masyarakat di Barat yang menilai Islam melalui kajian dan pembacaan, sebab itu mereka lebih memilih Islam, namun masyarakat bukan Islam di Malaysia menilai Islam berdasarkan perilaku umat Islam itu sendiri.


“Mereka melihat Islam melalui tingkah laku penganutnya, bukan kandungan Islam. Ini cabaran besar. Sepatutnya lebih ramai memeluk Islam, tetapi mereka memilih Kristian kerana persepsi terhadap kita,” tambahnya.

Ridhuan juga turut menegaskan agar dakwah yang dilakukan jangan sampai menggadaikan prinsip.

"Contohnya, mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina cukup dengan jamuan makanan. Tidak perlu ada ucapan seperti ‘Gong Xi Fa Cai’ kerana itu mengandungi unsur kepercayaan dalam masyarakat Cina,” tegas beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang tetap berusaha menganjurkan wacana dakwah walaupun peratusan bukan Islam di negeri itu hanya sekitar lima peratus.

“Kelantan telah memberi keadilan kepada bukan Islam. Mereka bebas beragama dan tidak ditindas. Ini contoh pemerintahan Islam yang adil. Sepatutnya mereka menghargai dengan memeluk Islam,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengingatkan agar pendakwah tidak mengaitkan Islam dengan bangsa kerana ia boleh menimbulkan ketakutan dan kekeliruan dalam kalangan bukan Islam.

“Islam itu rahmat. Kita tunjukkan perkara baik dalam Islam seperti keadilan, keamanan dan perpaduan. Dalam isu seperti konflik Palestin dan Israel, umat Islam perlu bersatu menentang kezaliman, ini mesej dakwah yang jelas,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan membina masjid bercirikan budaya Cina seperti Masjid Beijing di Rantau Panjang adalah contoh dakwah yang menggabungkan identiti budaya dengan tujuan mendekatkan Islam kepada bukan Islam.

Muhammad Fitri Abdullah,
Naib Pengerusi PERKIM Kebangsaan

Sementara itu panel kedua, Muhammad Fitri Abdullah menegaskan, dalam konteks masyarakat india jangan sesekali menghina kasta ketika berdakwah.

“Dalam Islam tiada kasta. Tapi dalam masyarakat India ada. Kita jangan hina kepercayaan mereka, kena kenal budaya dan pantang larang mereka dahulu. Itu asas penting dalam dakwah,"jelasnya.

Post a Comment

0 Comments