TANAH MERAH, 1 Julai – Sempena sambutan Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darulnaim pada 31 Julai ini, penduduk Kampung Kusial Bharu dan kawasan sekitarnya kini boleh menikmati kemudahan pembacaan yang lebih baik dengan pembukaan Perpustakaan Desa Kampung Kusial Bharu, yang mula beroperasi secara rasmi, hari ini.
Pusat bacaan di luar bandar itu diusahakan penubuhannya oleh Ahli Dewan Negeri Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor, sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut YB Bahari, kewujudan perpustakaan tersebut diusahakannya dengan sokongan pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan.
"Insya Allah pepustakaan desa ini akan lebih tersusun dan dilengkapi infomasi serta menjadi pusat sumber rujukan atau galeri Jambatan Guillemard dengan terbinanya cadangan pembinaan perpustakaan dan surau baharu berhampiran kawasan reakrasi berkenaan," jelasnya.
Beliau berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada usaha membudayakan ilmu, selaras dengan aspirasi sambutan Hari Iqra’ yang mengangkat mesej membaca sebagai asas pembinaan tamadun.
"Perpustakaan ini kita usahakan pembinaan dalam masa singkat selama tiga bulan sahaja.
"Diharap ia menjadi pusat rujukan, tempat ulang kaji pelajar dan ruang pembelajaran yang kondusif untuk semua peringkat umur," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terletak bersebelahan Masjid Tebing Tinggi Kusial Bharu, lokasi strategik perpustakaan desa ini dijangka memudahkan penduduk kampung, terutamanya pelajar sekolah, untuk hadir dan mengakses bahan bacaan dengan lebih selesa.
Perkhidmatan perpustakaan ini dibuka Ahad hingga Rabu, dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Manakala pada Sabtu dari pukul 8.00 pagi hingga 3.30 petang. Ia ditutup pada Khamis, Jumaat dan cuti umum.
YB Bahari menyeru seluruh masyarakat, terutamanya ibu bapa dan anak-anak muda, untuk menjadikan perpustakaan desa berkenaan sebagai destinasi rutin bagi meningkatkan pengetahuan, memperkukuh budaya membaca dan membina komuniti berilmu.
0 Comments