Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 10 Julai - Kunjungan hormat Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad ke pejabat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin di Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil dapat memperkukuh kerjasama untuk pembangunan sukan di Kelantan.
Menurut YB Zamakhshari, kunjungan hormat pada Selasa itu membuka ruang kerjasama yang lebih erat khususnya dalam memperkukuh sistem pembangunan sukan di Kelantan secara menyeluruh dan mampan.
"Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri Kelantan dan MSN dalam usaha mempertingkatkan pembangunan sukan serta pembinaan atlet berprestasi tinggi dari negeri Kelantan.
"Antara perkara utama yang dibincangkan dalam kunjungan tersebut ialah penambahbaikan fasiliti dan infrastruktur sukan di Kelantan, pengukuhan program pembangunan atlet dari peringkat akar umbi, serta hala tuju penganjuran temasya SUKMA akan datang, terutamanya edisi 2028 yang akan menyaksikan Kelantan sebagai tuan rumah,” ujar beliau menerusi catatan di media sosial miliknya pada Rabu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan dan komitmen pihak MSN untuk terus menyokong agenda pembangunan sukan Kelantan.
Sementara MSN menerusi satu hantaran di media sosial agensi tersebut menyatakan bahawa pertemuan tersebut juga menjadi platform kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk mempelajari struktur tadbir urus sukan di peringkat kebangsaan sebagai panduan dalam merancang pembangunan sukan negeri yang lebih sistematik.
Selain itu, perjumpaan berkenaan turut membincangkan persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Kelantan akan tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 dan kerjasama erat di antara negeri dan kerajaan persekutuan diyakini mampu merealisasikan kejayaan penganjuran temasya berprestij tersebut.
Delegasi Kelantan yang turut disertai oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) Fiesal Abdullah disambut oleh Jefri Ngadirin bersama barisan pengurusan kanan MSN termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Sukan) Mohd Sofian Hamzah, Pengarah Bahagian Atlet Azrul Hisyam Abd Jalil serta Pengarah Bahagian Fasiliti Mohd Raizal Muhamat Yaakup.
0 Comments