Program HIV di Kemumin: Kerajaan Negeri kesal tiada makluman awal

Oleh Fathi Yusoff Ajami

KOTA BHARU, 22 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap penganjuran satu program kesedaran HIV yang berlangsung di sebuah rumah banglo di Kemumin tanpa sebarang makluman rasmi kepada pihak berkuasa negeri mahupun agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan, berkata meskipun program itu bersifat kesihatan dan pencegahan, pelaksanaannya harus mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

“Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebarang usaha meningkatkan kesedaran kesihatan. Namun, ia perlu dilakukan secara tertib, melalui saluran yang betul dan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Program tersebut sebelum ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selepas ia dikaitkan dengan dakwaan berlaku ‘pesta tidak bermoral’. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa program berkenaan merupakan program kesedaran HIV yang dianjurkan NGO tempatan, Sahabat, dengan pemantauan Yayasan Bantuan AIDS Malaysia.

Menurut Dato' Fadzli, kegagalan pihak penganjur untuk memaklumkan perkara itu lebih awal telah mengundang salah faham dan persepsi negatif terhadap pelbagai pihak termasuk pentadbiran negeri.

“Program itu berlangsung sehingga jam dua pagi di kawasan kampung seperti Kemumin, yang secara logiknya sudah tentu mengundang keresahan penduduk. Ini boleh ditafsir sebagai tidak sensitif terhadap suasana dan norma tempatan,” katanya.

Tambah beliau, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri sendiri tidak dimaklumkan lebih awal mengenai program tersebut, menandakan kelemahan dalam penyelarasan dan komunikasi.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam merancang serta melaksanakan program masyarakat.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganjuran yang menimbulkan kekeliruan, menggugat keharmonian sosial atau bercanggah dengan nilai moral yang telah sekian lama menjadi asas kehidupan rakyat negeri ini,” tegas Dato' Fadzli.

Post a Comment

0 Comments