Kelantan Prihatin, laksana dasar lindungi warga emas

YB Rohani Ibrahim,
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan

Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Dalam usaha memperkasakan kebajikan golongan warga emas di negeri Kelantan, kerajaan negeri telah merangka dan menggubal Dasar Warga Emas Mukramun yang memberi penghormatan dan kemuliaan kepada mereka yang berusia.

“Dasar tersebut bertujuan memberi kesedaran bahawa warga emas perlu diambil berat oleh semua pihak sama ada anak-anak, ahli keluarga, anggota masyarakat dan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan warga emas sentiasa terjaga.”

Demikian menurut Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Rohani Ibrahim di Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelimabelas Tahun 2025, hari ini.

Mengulas berkenaan status pusat jagaan warga emas di Kelantan pula, beliau berkata terdapat dua kategori pusat jagaan warga emas di negeri Kelantan iaitu pertama di Rumah Seri Kenangan yang terletak di Taman Kemumin Pengkalan Chepa yang diselia di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, sehingga Jun 2025, jumlah penghuni yang direkodkan adalah seramai 99 orang. Manakala kategori kedua ialah empat buah rumah jagaan warga emas di bawah penyeliaan pihak swasta dan badan bukan Kerajaan (NGO) yang telah didaftarkan.

Kerajaan negeri turut memberi sokongan berterusan kepada NGO yang berdaftar sebagai pusat jagaan dan aktiviti warga emas, antaranya termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Shalis Care Centre, Pusat Jagaan Kenangan Hajjah Rahmah, dan Mesra Homecare Centre.

Dalam memperluas inisiatif menyantuni warga emas, program Skuad Kita Cakna (SKC) telah berjaya menyantuni 598 warga emas sepanjang tahun 2024, terutama mereka yang memerlukan sokongan dari aspek sosial, ekonomi dan kesihatan, sekali gus mengurangkan risiko pengabaian.

Menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kota Lama, YB Dr Hafidzah Mustakim, beliau yang juga ADN Tanjong Mas turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri giat menjalankan program intergenerasi seperti Sukaneka Warga Emas bersama JKM, bagi membina hubungan mesra antara generasi tua dan muda.

YB Dr Hafidzah Mustakim,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama

Mulai tahun 2023, Sambutan Hari Warga Emas dilaksanakan di peringkat negeri, parlimen dan DUN bagi mengiktiraf sumbangan warga emas dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Bagi tahun ini, sambutan akan diadakan pada 29 Julai sempena Program Kelantanku Cakna, di mana kerajaan negeri turut akan melancarkan Skim Warga Emas Mukramun dengan pemberian bantuan tunai one-off kepada warga emas terpilih.

Keunikan Kelantan turut terserlah apabila golongan warga emas juga berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti keilmuan dan kerohanian, melalui lapan buah Institusi Pendidikan Islam Pondok Warga Emas yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Institusi-institusi ini terletak di daerah Ketereh, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas dan Machang, dan terbuka kepada warga emas yang ingin mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat.

Post a Comment

0 Comments