Projek Quick Win berpotensi jadikan Gua Musang sebagai hab songket


Oleh: Asri Hamat

GUA MUSANG, 7 Julai – Pelaksanaan Projek Quick Win yang kini giat diusahakan Pejabat Tanah dan Pejabat Ketua Jajahan Gua Musang berpotensi menjadikan Gua Musang sebagai hab baharu perusahaan songket di Kelantan.

Ketua Jajahan Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata langkah tersebut diambil bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap kain songket yang kini hanya bergantung kepada pengusaha di Penambang, Kota Bharu.

"Kita sedar perusahaan songket di Penambang tidak lagi mampu menampung permintaan pelanggan kerana hanya ada satu pengusaha aktif di Kelantan.

"Justeru, kita mahu lahirkan lebih ramai pembuat songket baharu di Gua Musang," katanya.


Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat pembangunan jajahan sempena lawatan kerja Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ke Gua Musang pada Khamis.

Menurutnya, pada 19 Jun lalu, pihaknya telah bekerjasama dengan Pertubuhan Kraf Malaysia untuk menganjurkan Seminar Songket bagi mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 peserta yang berpotensi.

"Mereka yang terpilih akan dihantar ke Penambang selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober untuk mempelajari pembuatan songket secara intensif. Apabila mahir, mereka akan kembali ke Gua Musang untuk membuka bengkel masing-masing serta melatih penduduk setempat," jelasnya.

Dalam usaha memperkukuh projek ini, katanya, pihaknya turut berbincang dengan institusi perbankan yang bersetuju menyediakan bantuan dana permulaan sekitar RM5,000 bagi pembelian peralatan asas, selain menawarkan pinjaman tanpa riba sehingga RM20,000 untuk modal operasi.


Tambah Mohd Roshdi, lokasi strategik Gua Musang yang terletak di pertengahan laluan antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur serta jarak tiga jam ke Terengganu menjadikannya lokasi ideal untuk dijadikan pusat pengeluaran songket baharu di Kelantan.

Selain projek songket, beliau memaklumkan Bukit Chupak turut terlibat dalam pelaksanaan Projek Quick Win melalui pembangunan taman rekreasi hutan bandar yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap November ini.

"Bukit Chupak sememangnya popular sebagai lokasi riadah. Projek taman rimba ini menelan kos sekitar RM500,000, lengkap dengan laluan joging dan denai mendaki untuk kemudahan pengunjung," katanya.

Dalam masa sama, Gua Musang turut mempunyai beberapa tarikan ikonik lain seperti Musang Agropark, Masjid Buluh, Gua Neo dan beberapa lokasi ekopelancongan lain yang semakin mendapat perhatian pengunjung dari dalam dan luar Kelantan.

Post a Comment

0 Comments