Versi baharu Langkah Sheraton

Oleh M Faqih


MENGAPA tiba-tiba muncul semula nama seorang peguam VK Lingam. Siapa tokoh terhebat tersebut. Masihkah anda ingat isu video pelantikan hakim. Ia menggemparkan negara pada 2015. 

 Perbualan telefon antara Lingam dengan seorang individu yang juga hakim kanan tersebar luas ketika itu. Rakaman video dikatakan didedah individu bernama Loh.

Isu tersebut membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Dan pada 2008 anggota RCI memutuskan video terbabit sebagai tulen. 

Akhirnya Lingam dikeluarkan daripada senarai peguam bela dan peguam cara oleh Lembaga Tatatertib pada 6 November 2015.

Dan pada 22 Mei 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lingam untuk semakan kehakiman dan mengekalkan keputusan Lembaga Tatatertib. 


Langkah berani

Hari ini sembilan Ahli Parlimen (MP) PKR turut menyuarakan kebimbangan serupa terhadap dakwaan skandal pelantikan kehakiman.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli melahirkan kegusaran isu berkenaan. Ia menyerupai skandal pelantikan hakim iaitu skandal VK Lingam pada 2015.

Rafizi tidak keseorangan. Lapan ahli parlimen PKR bersamanya. Mereka iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Selain itu Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat). Sembilan wakil rakyat PKR terbabit menggesa RCI dibentuk. Tujuh daripadanya hadir pada sidang media khas hari ini.

Menurut Rafizi hanya siasatan menyeluruh dan bebas menerusi RCI mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem kehakiman negara.

Isu itu bermula kerana tiada kesungguhan kerajaan berkaitan pencalonan hakim baru oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Ia menyebabkan kekosongan hakim kanan menjadi mendesak.

Tiada pelantikan baharu menggantikan kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Sedangkan keputusan telah dikemukakan kepada perdana menteri sebelum persaraan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Lebih pelik lagi apabila mesyuarat JAC pada Jumaat lepas berkaitan pencalonan jawatan-jawatan kosong dianggap tidak mematuhi keperluan notis 10 hari. 


Gusar

Kegusaran sembilan MP PKR terbabit selepas perkara serupa disuarakan 

Majlis Peguam. Menurut badan peguam tersebut ketiadaan pelan peralihan kepimpinan yang jelas mencerminkan kegagalan institusi dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

Presidennya, Ezri Abdul Wahab meluahkan kebimbangan terhadap kelewatan dan sikap berdiam diri kerajaan dalam hal-hal yang membabitkan kepimpinan kehakiman.

"Kita sekarang berdepan situasi yang sepatutnya boleh dielakkan dalam sebuah demokrasi berperlembagaan,” katanya kepada media. 

Berikutan kegagalan kerajaan bertindak segera menyebabkan Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi.

Pelaksanaan tugas berkenaan turut merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan.

Pelantikan Ketua Hakim dicadangkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Judicial Appointments Commission (JAC) ditubuhkan pada tahun 2009, semasa pentadbiran Najib Razak. 

Pelantikan Ketua Hakim merupakan prerogatif perdana menteri. Perkara itu diakui bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong.

Pada 12 Mac 2019 menteri terbabit pada kenyataan menyatakan perdana menteri akan mengemukakan cadangan nama-nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelaslah di sini kuasa pelantikan bukan ditentukan JAC. Badan itu sekadar mencadangkan nama calon yang sesuai. Biar pun begitu ia cuba dinafikan pendukung Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa bukan bidang kuasa perdana menteri.


Malah, bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Judiciary in the Wilderness’ pada halaman 342 mendedahkan perdana menteri mengemukakan nama senarai calon hakim kanan ke Majlis Raja-Raja.

Berdasar hujah tersebut, ada asasnya apabila semua pihak hari ini menunding jari terhadap perdana menteri. Usaha pendukung PH menafikan peranan perdana menteri dalam isu pelantikan hakim kanan sudah terjawab.

Rafizi sudah memulakan langkah baharu. Perjuangannya hari ini bukan lagi sebagai jurucakap kerajaan, sebaliknya jurubicara rakyat. 


Silap haribulan boleh mengulangi langkah dirintis bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. 

Pada 24 Februari 2020 Ali bersama 10 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan PH bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Mereka iaitu Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal).

Selain itu Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Pengikut Rafizi juga hampir menyamai jumlah penyokong Azmin. Isu RCI kehakiman sekadar permulaan bagi Rafizi. Kemungkinannya Anwar Ibrahim semakin semput dada menjejaki usia tiga tahun kerajaan Madani.

Post a Comment

0 Comments