Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 13 Ogos – Biarpun baru menceburi sukan karom, Ilyas Aduka, 14, dari Kampung Puteh, mencipta kejutan apabila muncul juara perseorangan Cabaran Karom Terbuka Kelantan Piala Ahli Parlimen Kota Bharu.
Kejohanan berkenaan berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, pada Sabtu dan Ahad lalu adalah anjuran Kelab Belia Kota Bharu dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK) yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM36,971.
Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato' Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kemenangan luar biasa itu membolehkan pelajar sekolah menengah tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, menewaskan ratusan peserta senior kejohanan yang disertai lebih 700 pemain dari seluruh negara, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
"Kita bangga atas pencapaian Ilyas yang mendapat pendedahan dan latihan di Puteh Legacy Carom Club di Jalan Telipot, Kota Bharu.
"Walaupun baru bergiat aktif dalam karom pada tahun 2023, anak muda ini telah membuktikan potensi besar sebagai pemain muda yang berwibawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, penganjuran kejohanan itu dapat mengangkat martabat sukan karom di peringkat nasional, bahkan membuka ruang kepada bakat baharu untuk bersinar di pentas lebih tinggi.
"Tahniah kepada penganjur. Kejohanan bertaraf kebangsaan di Kota Bharu ini mampu menjadi medan pertemuan jaguh karom dari pelbagai negeri," jelasnya.
Beliau hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Dato' Zamri Ismail dan Pengerusi Kelab Belia Kota Bharu Marwan Husin.
0 Comments