Kerajaan digesa semak semula dasar kesihatan swasta - YB Wan Martina

YB Senator Wan Martina Wan Yusoff,
Ahli Dewan Negara

Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Dewan Negara YB Senator Wan Martina Wan Yusoff menggesa kerajaan menyemak semula dasar dan polisi berkaitan penjagaan kesihatan swasta bagi menjamin akses rawatan yang adil serta mampu dicapai rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2019, sebanyak 33.9 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kesihatan swasta, namun peningkatan kos perubatan menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan masyarakat mendapatkan rawatan.

“Saya ingin menarik perhatian kerajaan terhadap isu yang dibangkitkan pegawai perubatan swasta. Antaranya ialah harga ubatan daripada pembekal yang tidak seragam, kewujudan pihak ketiga yang menekan doktor dengan kos tambahan, serta yuran konsultasi yang tidak pernah diselaras lebih 30 tahun,” katanya ketika menyertai perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas Sidang Dewan Negara, pada Selasa.


Selain itu, beliau turut membangkitkan isu penghijrahan doktor dan pakar perubatan ke luar negara, cabaran penuaan masyarakat serta keperluan memperkukuh perkhidmatan kesihatan primer.

Menurutnya, kerajaan perlu merangka pelan tindakan menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan negara lebih mampan, adil dan lestari.

“Kerajaan perlu peka terhadap permasalahan ini dan segera bertindak demi kepentingan kesihatan rakyat,” tegasnya.

Dalam perbahasan itu juga YB Wan Martina turut menyentuh lebih 15 isu nasional merangkumi aspek kesejahteraan rakyat, ekonomi dan sosial untuk perhatian kerajaan.

Post a Comment

0 Comments