Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 7 September – Bandar Bentara Tumpat bergema dengan alunan selawat apabila lebih 300 peserta menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Kelaboran, hari ini.
Program anjuran bersama Majlis Daerah Tumpat dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kelaboran itu disertai 10 kontingen termasuk Majlis Daerah Tumpat, Pejabat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) Jajahan Tumpat, Ladang Rakyat DUN Kelaboran, Persatuan Pasar Sumayyah Tumpat, Bazar Tok Selehor, pelajar Maahad Muhammadi Tumpat, Maahad Tahfiz Bustanul Ariffin, Pondok Muharji Kampung Bendang Gelang Dalam Rhu serta penduduk kampung sekitar.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan menegaskan bahawa sambutan Maulidur Rasul perlu dimaknakan lebih daripada sekadar perarakan.
![]() |
YB Mohd Adanan Hassan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran |
“Marilah kita bertekad bersama keluarga untuk menghidupkan masjid dan surau supaya syiar Islam terus ditegakkan. Kita juga perlu meneliti sama ada keluarga kita benar-benar melaksanakan sunah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” katanya.
Manakala, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz pula mengingatkan bahawa tradisi sambutan Maulidur Rasul mempunyai akar sejarah yang panjang.
“Perarakan selawat bukanlah tradisi baharu. Ia bermula sejak zaman Rasulullah SAW ketika baginda disambut dengan selawat dan nasyid oleh penduduk Madinah setelah berhijrah dari Mekah. Ingatan kepada Nabi perlu diterjemahkan dengan amal serta menyambung perjuangan baginda. Inilah tanda sebenar kecintaan kita kepada Rasulullah SAW,” ujarnya.
![]() |
YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, Ahli Parlimen Tumpat |
Turut hadir, Pegawai Agama Jajahan Tumpat Ustaz Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob, Ketua WHIP Majlis Daerah Tumpat Nazri Abdullah, Ahli-Ahli Majlis Daerah Tumpat serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Seorang peserta, Nurul Zulaikha Mohd Zulhairi, 23, menyifatkan penyertaan kali ini memberi pengalaman bermaknanya pada usia belia.
Siswi universiti awam itu mengakui selepas sekian lama tidak menyertai perarakan sebegitu, program kerohanian tersebut memugar kenangannya.
“Saya sangat seronok kerana dapat bersama masyarakat dalam suasana penuh ukhuwah. Aktiviti ini mengembalikan ingatan ketika melihat perarakan Maulidur Rasul waktu masih kanak-kanak yang membuat saya lebih menghayati perjuangan Rasulullah SAW,” katanya.
0 Comments