Penghulu baru didedah peranan pemimpin masyarakat

PASIR PUTEH: Seramai 63 penghulu mukim dan tanpa mukim yang baharu dilantik menyertai kursus induksi bagi mendedahkan mereka persediaan awal memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.

Penghulu terbabit yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India mengikuti kursus induksi yang diadakan di Jeram Mengaji Agro Resort selama tiga hari berakhir Rabu lepas.

Perasmian penutup kursus tersebut disempurnakan Timbalan Pengerusi Majlis Penghulu Negeri Kelantan Haji Husaimy Che Husin yang juga Adun Pantai Irama.

Pelbagai program diadakan sepanjang kursus terbabit termasuk tazkirah Maghrib dan Isyak, taklimat perkhidmatan penghulu disampaikan Pengarah Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan Haji Zulkifli Mamat.

Selain itu kertas kerja ‘Penghulu Sebagai Pelaksana Dasar-Dasar Kerajaan’ disampaikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Nazmi Ghazali Azmi; kefahaman berkaitan Penghayatan Membangun Bersama Islam dibentang Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Prof Emeritus Dr Johari Mat.

Turut didedahkan mengenai pembongkaran scammer disampaikan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) Kelantan, Mohd Zawawi Ahmad; kuliah aqidah perjuangan disampaikan Setiausaha Akhbar Menteri Besar  Ustaz Hanif Fuad.

Pengarah Pusat Kajian Strategi Dato' Dr Wan Nik Wan Yussof membentang berkaitan pengurusan mukim serta pentadbiran harta pusaka dan perancangan pewarisan disampaikan Mohd Sukri Mohd Noor dari Amanah Raya Berhad.

Kursus tersebut dianjur Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri.  

 

 

Post a Comment

0 Comments