Kelantan pelopor penternakan Wagyu premium negara


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 7 September – Industri ternakan negeri Kelantan melakar sejarah baharu apabila Projek Kandang Tertutup Kelfarm Seribong dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Mohamad Sabu, di sini, hari ini.

Projek berteknologi moden itu dianggap sebagai anjakan strategik bagi menjadikan Kelantan sebagai pusat penternakan baka Wagyu tempatan berkualiti tinggi melalui kerjasama Kelfarm dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata projek tersebut membuktikan keupayaan Kelantan dalam meneroka sektor penternakan premium yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.

“Projek kandang tertutup moden ini mengawal suhu, pengudaraan, pencahayaan serta mematuhi piawaian biosekuriti antarabangsa. Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah menitikberatkan kesihatan dan kebajikan haiwan,” katanya.


Berkapasiti menampung 120 ekor lembu Wagyu dan kacukan premium, fasiliti berkenaan berfungsi sebagai pusat pembiakan baka Wagyu premium, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam nutrisi, kesihatan dan teknologi penternakan, serta model rujukan kepada penternak dan koperasi lain untuk meningkatkan tahap pengurusan ternakan masing-masing.

Menurut beliau lagi, projek itu turut menzahirkan kerjasama erat antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Kerajaan Negeri Kelantan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri dan agensi berkaitan.

“Sinergi ini sangat bermakna dalam merealisasikan hasrat meningkatkan sumbangan Kelantan terhadap pengeluaran ternakan dan keterjaminan makanan negeri serta negara. Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada YB Menteri dan warga KPKM atas komitmen padu membangunkan sektor tani di Kelantan,” jelasnya.

Beliau yakin projek akan membuka ruang lebih luas kepada pembangunan industri penternakan bernilai tinggi, selain mewujudkan peluang ekonomi baharu khususnya kepada golongan muda agropreneur.



Post a Comment

0 Comments